EKONOMI > BERITA

BURSA MALAYSIA DIBUKA TINGGI

24/04/2025 10:45 AM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini, menjejaki peningkatan semalaman di Wall Street berikutan sentimen pelabur bertambah baik kerana menjangkakan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China akan reda dan lebih banyak kenyataan positif daripda Presiden AS Donald Trump.

Pada jam 9.27 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.60 mata kepada 1,502.79 daripada 1,501.19 pada Rabu.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 0.64 mata kepada 1,500.55.

Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 263 berbanding 180 manakala 301 kaunter kekal tidak berubah, 1,671 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 416.74 juta unit bernilai RM195.14 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata sentimen kelihatan didorong oleh penurunan dalam hasil Perbendaharaan 10 tahun AS, ia susut kepada 4.385 peratus.

“Sementara itu, pasaran Hong Kong kekal kukuh dan meningkat melebihi paras 22,000 apabila sentimen bertambah baik berdasarkan jangkaan bahawa Trump mungkin mengubah pendiriannya terhadap China malah boleh menurunkan tarif 145 peratus sedia ada,” katanya kepada Bernama.

Di peringkat tempatan, Thong berkata ia masih belum dapat dilihat sama ada kedudukan FBM KLCI di atas paras 1,500 adalah mampan, walaupun beliau berharap indeks itu tidak lama lagi dapat menguji semula paras 1,530.

"Walaupun begitu, volum dagangan harian kekal lemah di bawah 3.0 bilion saham. Oleh itu, kami menjangkakan sentimen pasaran akan kekal berhati-hati dengan indeks diunjurkan bergerak dalam julat 1,500–1,515 hari ini," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah empat sen kepada RM9.99, Tenaga Nasional menokok dua sen kepada RM13.52 dan CIMB Group melonjak enam sen kepada RM6.91, bagaimanapun Public Bank dan IHH Healthcare merosot tiga sen masing-masing kepada RM4.37 dan RM6.83.

Bagi saham aktif, SFP Tech naik 2.5 sen kepada 23 sen, Digistar meningkat satu sen kepada 5.5 sen, manakala Richtech jatuh dua sen kepada 25 sen, Velesto Energy dan My E.G. Services menambah 0.5 sen masing-masing kepada 15 sen dan 89.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 14.91 mata kepada 11,136.51, Indeks FBMT 100 menambah 13.94 mata kepada 10,916.70, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 11.68 mata kepada 10,958.32, Indeks FBM 70 naik 29.01 mata kepada 15,579.89, manakala Indeks FBM ACE menokok 8.92 mata kepada 4,611.61.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 41.71 mata kepada 17,979.92, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.10 mata kepada 145.29, Indeks Tenaga menambah 1.45 mata kepada 663.18, bagaimanapun Indeks Perladangan merosot 2.68 mata kepada 7,211.81.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan