EKONOMI > BERITA

KEMPEN LTW 2024 MAHB CATAT JUALAN LEBIH RM200 JUTA

24/04/2025 07:06 PM

Oleh Nurfardlina Izzati Moktar

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Kempen Licence to Win (LTW) 2024 oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mencatatkan lebih RM200 juta dalam jumlah resit jualan.

Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Komersialnya, Hani Ezra Husin berkata jumlah tersebut melepasi kempen LTW terdahulu iaitu pada 2019 yang mencatatkan jualan sebanyak RM178 juta.

“Ini merupakan program tahunan yang bermula sejak 2017 tetapi dihentikan sementara sewaktu pandemik.

“Selepas berehat seketika, kami sangat berbangga kerana LTW sekali lagi berjaya menarik perhatian para pengembara kami. LTW 2024 berjaya mengumpul 300,000 penyertaan dengan jumlah resit jualan melebihi RM200 juta, satu pencapaian yang memecah rekod berbanding edisi terakhir kami pada 2019,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah di sini pada Rabu.

Beliau berkata kempen tersebut menerima sejumlah 300,000 penyertaan dengan rakyat Malaysia merupakan majoriti iaitu sebanyak 68.1 peratus diikuti oleh warga Indonesia sebanyak 11.7 peratus dan peserta dari negara lain sebanyak 9.2 peratus.

Purata perbelanjaan bagi setiap penyertaan direkodkan pada RM610.80.

“Ini membuktikan lapangan terbang bukan sekadar pintu keluar bagi rakyat Malaysia yang ke luar negara tetapi juga merupakan destinasi popular dalam kalangan pengembara yang benar-benar gemar membeli-belah, bukan sahaja ketika bercuti,” kata Hani Ezra.

Hani Ezra turut berkongsi iaitu pemenang kempen ini berpeluang menikmati pengalaman runcit dan sajian yang dipertingkatkan selama enam bulan di lima lapangan terbang antarabangsa kendalian MAHB iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Pulau Pinang, Langkawi, Kota Kinabalu dan Kuching.

Sementara itu, pemenang hadiah utama kempen LTW 2024, rakyat Malaysia Emilyn Ooi menerima ganjaran sekali seumur hidup iaitu perbelanjaan membeli-belah di lapangan terbang bernilai RM1 juta.

“Kami melihat LTW bukan sekadar satu pertandingan. Ia merupakan satu cara untuk membayangkan semula pengalaman membeli-belah di lapangan terbang.

“Suasana semasa LTW 2024 sangat berbeza... Ia bukan hanya mengenai jualan atau jumlah pengunjung tetapi mengenai semangat keterujaan dan hubungan yang kembali wujud di lapangan terbang kami sejak pandemik. Kempen ini menjadi satu kejayaan besar dalam meningkatkan perbelanjaan runcit,” katanya.

Menerusi inisiatif strategik, Hani Ezra berkata MAHB memperkasakan para peruncit dengan memacu jualan dan penglibatan pelanggan.

Usaha ini turut dilengkapkan dengan sokongan pemasaran termasuk kempen membeli-belah seperti LTW yang meningkatkan keterlihatan dan kesan keseluruhan dengan ketara.

Pada akhir 2024, 90 peratus daripada kedai komersial membuka pintu mereka dengan menawarkan para penumpang pelbagai pilihan runcit yang lebih luas dan meriah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan