KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- MTD Properties Sdn Bhd mengumumkan tiga projek pembangunan utamanya, termasuk dua projek perumahan dan sebuah taman perindustrian di Melaka dan Kajang, Selangor bagi memenuhi permintaan pasaran yang kian berkembang.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Dr Nik Fauzan Nik Faizul berkata projek perumahan terbabit adalah MTD Sutera Vista Residence di Taman Sutera, Kajang dan Fasa 24 Taman Tasik Utama di Ayer Keroh, Melaka.
Projek pembangunan taman perindustrian itu adalah MTD Nexus 28 di Taman Tasik Utama, Melaka.
“Sutera Vista Residence misalnya mengetengahkan sebanyak 378 unit pangsapuri moden dengan 74 unit daripadanya bagi skim perumahan mampu milik Rumah Selangorku. Harga bagi pangsapuri ini adalah dalam lingkungan RM229,500 hingga RM500,000.
“Taman Perindustrian MTD Nexus 28 pula menawarkan sebanyak 86 unit kilang berkeupayaan pintar manakala Fasa 24 Taman Tasik Utama merangkumi 197 unit kediaman teres yang dibina khusus bagi komuniti yang semakin meningkat,” katanya pada sidang media acara MTD Properties Showcase di sini, hari ini.
Selain pembangunan berkenaan, Nik Fauzan turut mengumumkan rancangan bagi kawasan perbandaran bersepadu di Sungai Kantan dan Seremban selain perluasan kawasan seluas 283.36 hektar membabitkan Parcel B di Ayer Keroh bagi menyokong peningkatan serta bandar bersepadu di Melaka.
Beliau juga menyifatkan pembangunan berkenaan didorong oleh jualan yang lebih kukuh pada 2024.
Nik Fauzan berkata syarikat itu kini dalam proses rundingan bagi tanah seluas 89.03 hektar di Lembah Klang yang dijangka dapat dimuktamadkan pada tahun ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MTD Properties Reime Rizal Abdul Aziz berkata mandat baharu syarikat itu adalah untuk mempercepat pelancaran projek setiap tahun yang berbeza daripada pendekatan konservatif pengembangan secara berturut-turut seperti sebelum ini.
“Tumpuan kami pada masa ini adalah pelancaran pelbagai projek setiap tahun. Pendekatan ini dapat mewujudkan lebih banyak penglibatan dengan komuniti dan mengukuhkan libat urus dengan pihak berkepentingan,” katanya.
Walaupun tidak mendedahkan sasaran jualan khusus bagi 2025, Reime Rizal berkata MTD Properties mengunjurkan peningkatan jualan sebanyak 20 peratus berbanding pada 2024.
Mengulas pasaran hartanah semasa, beliau berkata Malaysia memaparkan petanda pulih secara beransur-ansur, disokong oleh prospek ekonomi yang stabil, insentif kerajaan untuk pembeli rumah dan minat mendalam generasi muda untuk melabur dalam segmen hartanah.
“Permintaan itu masih ketara, khususnya bagi pembangunan yang menawarkan ciri-ciri seperti lokasi strategik, ketersambungan yang baik serta kemudahan berasaskan gaya hidup.
“Pembeli pada masa ini lebih teliti, mengutamakan kualiti, nilai dan penghunian jangka panjang, khususnya dalam pembangunan bersepadu atau yang bercirikan lestari,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial