KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) merancang untuk mengurangkan pegangan aset strategik daripada 56 peratus kepada 35 peratus di bawah 'Projek Bumi' dalam tempoh tiga tahun akan datang untuk menurunkan pendedahan di samping mengekalkan kawalan.
Ketua Eksekutif LTAT Mohammad Ashraf Md Radzi berkata aset strategik kini menyumbang 56 peratus kepada RM13.6 bilion di bawah pengurusan.
“Apabila mendapat semula modal ini, sebarang transaksi atau pengewangan akan membolehkan kami meraih kembali modal yang dilaburkan dalam syarikat terlibat secara berstruktur -- pada nilai yang sepatutnya -- dan melabur semula dalam kelas aset lain yang kami kurang,” katanya pada taklimat media Dividen LTAT 2024 di sini, Khamis.
Beliau berkata aset strategik LTAT termasuk anak syarikat milik penuhnya, Boustead Holdings Bhd, 54.9 peratus kepentingan dalam Pharmaniaga Bhd, dan 22 peratus kepentingan dalam Affin Bank Bhd.
Selain aset strategik, portfolio LTAT termasuk hartanah (11.8 peratus), ekuiti awam (9.4 peratus), pendapatan tetap (9.3 peratus), ekuiti persendirian (7.8 peratus), seta instrumen tunai dan pasaran wang (5.8 peratus).
Tahun lepas, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menyarankan LTAT supaya mempelbagaikan pelaburannya berbanding menumpukan pada Boustead Holdings Bhd.
Projek Bumi bertujuan mengoptimumkan strategi pelaburan LTAT di samping merangsang pertumbuhan jangka masa panjang syarikat utama.
Inisiatif itu mengambil kira keperluan untuk menggalakkan perniagaan yang mempunyai prospek pertumbuhan yang cerah dan faedah jangka masa panjang.
Mohammad Ashraf berkata projek itu telah dibentangkan kepada Kabinet pada 13 Dis, 2024.
“Tiga objektif itu adalah meningkatkan kecekapan operasi dan produktiviti, memastikan setiap anak syarikat kekal berdaya saing dalam industri masing-masing, dan menstrukturkan setiap syarikat operasi di bawah pegangan saham paling optimum.
“Pelan strategik terlaras di bawah Projek Bumi ini menumpukan kepada tiga objektif ini sebagai prinsip panduan. Kami kekal konsisten dalam matlamat kami untuk mengurangkan tahap pendedahan di samping mewujudkan jurang positif antara kos pelaburan lembaran imbangan dan nilai sebenar pegangan kami,” katanya.
Memandangkan Malaysia sebagai pengerusia ASEAN 2025, LTAT menyasar untuk mengukuhkan kerjasama dalam kalangan negara anggota dengan memanfaatkan peranan kepimpinan Malaysia untuk memupuk kerjasama ekonomi, sejajar dengan strategi LTAT yang lebih luas untuk menyeimbangkan keutamaan domestik dan pada masa sama memanfaatkan sinergi serantau.
“Dalam pertanian, sebagai contohnya, kami mempunyai anak syarikat milik majoriti yang beroperasi di Indonesia menjalankan perniagaan yang serupa.
“Bagaimanapun, pelanggan mereka kebanyakannya terdiri daripada syarikat sektor swasta berbanding sektor kerajaan. Apabila boleh laksana, kami menyasar untuk mencontohi strategi pasaran domestik kami di Indonesia,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial