KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- ASEAN khususnya Malaysia menawarkan peluang kepebagaian pasaran kepada Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (EFTA) bagi mengembangkan capaian perdagangannya, kata Ketua Delegasi Switzerland Thomas Aeschi.
Negara-negara EFTA terdiri daripada Switzerland, Liechtenstein, Norway dan Iceland.
Aeschi berkata Malaysia menawarkan alternatif yang sangat baik bagi syarikat berasaskan EFTA bagi meningkatkan kehadiran mereka di rantau ASEAN.
“Malaysia menawakan alternatif yang sangat baik untuk syarikat. Ia serupa dengan Singapura tetapi lebih murah daripada Singapura dan lebih maju berbanding Vietnam.
“Malaysia menawarkan kedudukan yang menarik di antara kedua-duanya, boleh saya katakan, Vietnam dan Singapura,” katanya kepada para wartawan semasa taklimat media di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis itu Duta Besar Switzerland, Chantal Moser.
Aeschi merupakan sebahagian daripada delegasi ahli Parlimen dari negara EFTA yang sedang mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dari 21 hingga 25 April.
Delegasi tersebut menyasarkan untuk mempererat hubungan Parlimen, mendapatkan maklumat dan pandangan secara langsung serta meraih sokongan politik bagi Perjanjian Perkongsian Ekonomi Malaysia-EFTA (MEEPA) yang dimuktamadkan pada 11 April 2025.
Lawatan ke Malaysia ini merupakan peluang bagi ahli-ahli parlimen EFTA untuk membuat persediaan menghadapi perbincangan domestik dan proses ratifikasi MEEPA di empat parlimen masing-masing.
Aeschi berkata sejumlah syarikat Switzerland sedang memberi perhatian lebih kepada pasaran Malaysia dan merancang untuk meningkatkan kehadiran mereka dengan MEEPA.
“Selain itu, perjanjian perlindungan pelaburan yang diharapkan akan dimeterai tahun ini bagi memberikan mereka jaminan tambahan iaitu wang dilaburkan di Malaysia selamat dan mempunyai rangka kerja untuk diusahakan. Ia merupakan asas untuk mengembangkan operasi perniagaan masing-masing,” katanya.
Pada masa ini, kira-kira 35 syarikat yang mempunyai hubungan dengan Switzerland menggajikan lebih daripada 20,000 rakyat Malaysia.
Sementara itu, Ketua delegasi Norway, Trine Lise Sundnes berkata Norway dan negara EFTA mengiktiraf manfaat perdagangan bebas merentasi sempadan di tengah ketidakpastian ekonomi global.
“Kami gembira kerana perbincangan kami minggu ini dengan rakan sejawat di sini mengesahkan Malaysia juga mempunyai pendapat yang sama dalam hal perdagangan iaitu rejim berasaskan peraturan menguntungkan kami untuk pertumbuhan.
“Itu penting bagi kami dan akan melakukannya secara mampan. Kami melihat banyak contoh di Malaysia apabila inovasi dan penyelidikan sangat sesuai dengan cara kami menangani kemampanan dan inovasi,” katanya.
Rundingan ke arah perjanjian perkongsian ekonomi yang komprehensif di antara Malaysia dengan negara-negara EFTA dimulakan pada November 2022.
Pusingan pertama diadakan pada Mac 2014 diikuti dengan 16 pusingan rundingan dan satu siri mesyuarat diadakan di peringkat ketua delegasi dan pakar.
Sundnes berkata rundingan diselesaikan pada 11 April 2025 dan MEEPA dijadualkan untuk dimeterai pada bulan Jun diikuti dengan proses ratifikasi oleh kedua-dua pihak.
“Ia mengambil masa, tetapi kami gembira kerana ia diselesaikan. Kami jelas melihat terdapat keperluan untuk lebih banyak perjanjian perdagangan bebas (FTA) dalam kalangan sekutu dan rakan-rakan,” katanya.
EFTA merupakan satu daripada rangkaian perdagangan bebas terbesar di dunia dengan 33 FTA yang ditubuhkan dengan 44 negara dan wilayah di luar Kesatuan Eropah.
Sejak 2019, perdagangan EFTA-Malaysia mencatatkan sebanyak US$550 juta dan mencapai US$2.35 bilion pada 2014 dengan import dari Malaysia bernilai US$1.20 bilion dan eksport EFTA berjumlah US$1.16 bilion (US$1 = RM4.369).
Eksport utama EFTA pada 2024 termasuk mesin, farmaseutikal, mesin elektrik, alat peranti berketepatan tinggi serta jam tangan dan jam.
Import dari Malaysia ke negara EFTA didominasi oleh elektrik dan mesin, alat peranti berketepatan tinggi, getah dan aluminium.
Dalam ASEAN, EFTA juga mempunyai FTA dengan Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial