KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Malaysia kekal komited untuk berkongsi kepakarannya dan menggalakkan kerjasama dengan rakan antarabangsa, terutamanya dalam mempromosikan kesedaran dan inovasi dalam ekosistem halal di Expo 2025 Osaka, Kansai, Jepun, yang berlangsung dari 13 April hingga 13 Okt 2025.
Ketua Platform Bersepadu Halal (HIP) Halal Development Corporation Bhd (HDC) Mohammad Hafiz Jamaluddin berkata ekspo itu menjadi platform untuk Malaysia mengukuhkan kedudukannya sebagai hab halal global selaras dengan Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030).
“Melalui usaha kami dan HIMP 2030, kami mengukuhkan ekosistem halal Malaysia selain memacu inovasi dan penggunaan digital dalam rantaian nilai.
“Matlamat kami ialah menjadikan Malaysia sebagai rakan kongsi global yang dipercayai dalam ekonomi halal—dibina berdasarkan kualiti, keterangkuman dan kerjasama jangka panjang,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) hari ini.
HIMP 2030 mengenal pasti pendigitalan, inovasi dan capaian antarabangsa sebagai pemangkin utama pertumbuhan. Selaras dengan visi ini, HDC terus memberi fokus kepada pengukuhan kerjasama strategik, meningkatkan daya tahan rantaian bekalan dan memperluas peluang ekonomi dalam pasaran halal global.
Di bawah MITI, HDC menganjurkan seminar perniagaan mengenai industri halal Malaysia di Pavilion Malaysia bersempena Expo 2025, yang berlangsung pada 17 April. Pameran HDC di Pavilion diadakan dari 14 hingga 19 April.
Menurut MITI, seminar itu juga memberikan pandangan mengenai kepimpinan Malaysia dalam ekosistem halal global, dengan menekankan standard pensijilan yang diiktiraf antarabangsa, infrastruktur bersepadu dan dasar yang berpandangan ke hadapan.
Katanya HDC telah mempamerkan rangkaian instrumen digital dan inovasinya di seminar tersebut, termasuk Halal Navigator (HaNa), platform dijana AI yang menyediakan maklumat mengenai pensijilan halal Malaysia dalam 36 bahasa dan HIP, yang menghubungkan pembekal, penyedia logistik, pengeluar dan kewangan Islam.
“Seminar perniagaan itu juga menampilkan demonstrasi secara langsung mengenai Kit Ujian Rapid halal, yang mengukuhkan kredibiliti saintifik standard halal Malaysia, dengan tiga sesi Pocket Talk yang disasarkan sepanjang minggu,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial