EKONOMI > BERITA

BANK DUNIA UNJUR PERTUMBUHAN EKONOMI 2025 MALAYSIA PADA 3.9 PERATUS

25/04/2025 11:25 PM

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Bank Dunia mengunjurkan kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 3.9 peratus tahun ini berikutan cabaran global.

Dalam catatan di platform X menerusi akaun @ApurvaSanghi, Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Apurva Sanghi menyatakan, “Dengan mengambil kira semua kemungkinan kekangan, kami (Bank Dunia) mengunjurkan kadar pertumbuhan 2025 Malaysia pada 3.9 peratus.”

Bank Dunia juga memaklumkan unjuran pertumbuhan bagi negara ASEAN lain, dengan Vietnam dijangka mendahului pada 5.8 peratus, diikuti Indonesia pada 4.7 peratus, Filipina pada 5.3 peratus, Kemboja pada 4.0 peratus, dan Thailand pada 1.6 peratus.

Selain itu, unjuran bagi kadar pertumbuhan China adalah pada 4.0 peratus.

Semalam, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2025 yang pada masa ini disasarkan antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus mungkin perlu disemak turun berikutan kesan tarif Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata bagaimanapun, BNM tidak akan tergesa-gesa untuk melaraskan unjuran itu memandangkan belum ada sebarang perkembangan muktamad buat masa ini.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menerusi laporan Tinjauan Ekonomi Dunia April 2025 bertajuk “A Critical Juncture amid Policy Shifts” yang dikeluarkan pada Rabu, telah menurunkan unjuran pertumbuhan KDNK sebenar Malaysia bagi 2025 kepada 4.1 peratus daripada 4.7 peratus, seiring dengan penurunan unjuran seluruh rantau.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan