EKONOMI > BERITA

RISDA TEMUI SUMBER KEKAYAAN BAHARU NEGARA, BAKAL DILAKSANA AWAL TAHUN DEPAN

01/05/2025 01:29 PM

Oleh Nadia Jumri

KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) -- Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) kini dalam proses memuktamadkan satu kajian awal terhadap usaha pembangunan produk biofuel berasaskan sekerap getah, dengan sasaran mengumumkan keberkesanan penggunaannya secara meluas seawal awal tahun hadapan. 

Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib berkata inisiatif dikenali sebagai ‘Green Rubber Fuel’ itu merupakan hasil usaha projek rintis kumpulan inovasi Transformation for New Generation (TR4NG) di bawah inisiatif Pejabat RISDA Jajahan (PRJ) Tanah Merah, Kelantan.

“Langkah ini disifatkan sebagai satu pendekatan strategik dan kreatif bagi menangani cabaran dihadapi industri getah negara, termasuk ketidaktentuan harga pasaran, penurunan permintaan global dan kecenderungan pekebun kecil beralih kepada tanaman lain.

“Inisiatif inovatif ini berpotensi mengangkat nama RISDA serta mengubah persepsi bahawa industri getah bukan lagi industri yang malap (sunset industry), sebaliknya ‘the new rising renewable sector’,”katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama di sini.

Potensi projek biofuel getah itu sebelum ini turut disentuh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyifatkannya mampu menjadi model pembangunan luar bandar berimpak tinggi dan memacu transformasi sektor getah ke arah masa depan lestari dan berdaya saing.

Mengulas lanjut, Manndzri berkata kumpulan TR4NG dianggotai oleh sembilan ahli telah memperkenalkan teknologi unik yang menukar sekerap getah kepada biofuel melalui proses pembakaran terkawal dan penyulingan berperingkat. 

“Hasilnya, tiga jenis bahan api dihasilkan iaitu cecair hampir menyerupai sifat petrol, minyak putih dan gas butana, yang telah berjaya diuji pada motosikal, traktor mini, mesin rumput dan lori tanpa campuran bahan tambahan.

“Ujian makmal turut memperakukan bahawa komponen kimia dalam bahan api tersebut memiliki potensi tinggi untuk digunakan secara praktikal dan selamat jika dilaksanakan melalui kajian yang lebih komprehensif,” katanya.

Proses berkenaan, menurutnya telah disaksikan sendiri melalui lawatan kerja beliau baru-baru ini, selain biofuel yang terhasil juga turut dicuba sendiri.

Menurut Manndzri, anggaran satu kilogram (kg) getah sekerap mampu menghasilkan sehingga lima liter minyak biofuel yang secara tidak langsung mampu membuka peluang baharu untuk penjanaan pendapatan kepada lebih 500,000 pekebun kecil RISDA, selain memberi nilai tambah kepada industri.

Minyak biofuel ini bukan sahaja menawarkan penyelesaian mampan kepada cabaran industri getah, malah berpotensi menyumbang kepada agenda tenaga boleh diperbaharui negara dan usaha menurunkan pelepasan karbon, katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pembangunan ‘Green Rubber Fuel’ perlu dilaksanakan secara kolaboratif, melibatkan lebih banyak agensi kerajaan dan pihak berkepentingan, seperti SIRIM, institusi ilmu dan penyelidikan, industri, termasuklah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

“Kami mengalu-alukan semua pihak yang berkepentingan untuk bekerjasama dengan pihak RISDA. Begitu juga peranan pihak MOSTI bagi mengembangkan potensi minyak biofuel ini sehingga mampu menjadi aset negara dan menyumbang kepada pendapatan negara,” katanya.

Jelasnya, sebagai langkah susulan, beberapa tindakan strategik telah dicadangkan iaitu pembiayaan pembangunan prototaip dan fasiliti makmal dan pelaksanaan program inkubasi inovasi luar bandar.

“Selain itu, pendaftaran paten dan perlindungan harta intelek selain promosi serta komersialisasi di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.

Manndzri berkata usaha warga RISDA ini membuktikan bahawa transformasi sektor getah bukan sahaja boleh dicapai, tetapi mampu meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam inovasi tenaga biofuel berasaskan hasil pertanian. 

“Dengan sokongan serta kepercayaan berterusan daripada kerajaan dan pihak berkepentingan, projek ini dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan luar bandar yang lestari dan berimpak tinggi, selaras dengan aspirasi Desa Madani.

"Daripada sekerap kepada sumber – biofuel getah simbol inovasi luar bandar untuk tenaga masa hadapan,” katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan