KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) perlu membuat keputusan penting dalam mesyuarat akan datang pada 5 Mei, 2025, membabitkan penetapan paras pengeluaran minyak mentahnya bagi Jun.
BMI yang juga unit di bawah Fitch Solutions, berkata sebarang keputusan untuk menunda atau mengurangkan peningkatan pengeluaran itu akan mewujudkan “lantai (paras rendah) harga” Brent dan berkemungkinan mencetuskan kenaikan harga yang sederhana.
"Bagaimanapun, sebarang perpaduan kumpulan yang goyah akan merumitkan lagi usaha untuk membina konsensus (persetujuan bersama) mengenai langkah pengurangan baharu," katanya dalam nota penyelidikannya hari ini.
Menurut BMI, kelebihan pendekatan sedemikian perlu dalam membantu mewujudkan purata harga minyak yang lebih tinggi, sekali gus dapat meredakan tekanan fiskal ke atas negara-negara pengeluar OPEC+.
BMI berkata pendekatan itu juga menyokong kestabilan pasaran dalam berdepan ketidaktentuan ekonomi yang ketara ketika Presiden Amerika Syarikat Donald Trump melancarkan perang perdagangan globalnya.
“Namun, usaha mencapai persetujuan berkaitan tindakan pembekuan atau mengurangkan lagi bekalan akan menjadi lebih mencabar,” katanya.
Tindakan pengurangan OPEC+ juga, katanya, dilihat semakin tidak adil sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sekali gus mencetuskan rasa kecewa dan kemerosotan kesepakatan dalam kumpulan itu, katanya.
BMI berkata kemungkinan pencapaian daripada mesyuarat akan datang itu adalah Kazakhstan dan lain-lain tidak akan meningkatkan pematuhan selain mempercepat pertumbuhan bekalan.
“Ini akan menyebabkan harga turun naik walaupun kesannya bergantung kepada skala peningkatan serta senario di sekitarnya," katanya.
Berikutan itu, BMI berkata dalam senario sedemikian, tindakan kumpulan itu akan ditafsirkan sebagai berganjak daripada strategi lamanya untuk menyokong kestabilan harga.
Bagaimanapun, kemungkinan “pembubaran sepenuhnya” perjanjian OPEC+ dijangka tidak berlaku memandangkan pasaran sudah semakin biasa dengan “tindakan OPEC” dan sebarang kesannya akan turut dirasakan, kata BMI.
Pada masa sama, katanya, sebarang pembubaran perjanjian itu berkemungkinan besar mencetuskan aktiviti jualan Brent secara ketara yang boleh mencetuskan kesukaran fiskal tidak wajar ke atas pengeluar yang bergantung kepada eksport.
“Namun, ini bukanlah sesuatu yang mustahil. Ada 22 pihak yang memeterai perjanjian OPEC+ itu. Hanya lapan pihak yang terbabit dengan pengurangan bekalan ketika ini dengan hanya Algeria mencapai pematuhan sepenuhnya perjanjian itu dan terkecuali daripada sebarang pampasan susulan pengurangan bekalan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial