KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- West River Bhd (West River), penyedia perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan elektrik (M&E) merancang untuk meningkatkan kapasiti pengeluarannya dengan kemudahan baharu yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.
Ia merupakan sebahagian daripada strategi pengembangan pasca tawaran awam permulaannya (IPO).
Pengarah Urusannya, Lim Yong Lai berkata syarikat itu juga terbuka untuk mempercepatkan tempoh untuk memperoleh kilang yang sudah siap dibina, bergantung kepada keadaan pasaran semasa.
Beliau berkata, pada awalnya syarikat itu merancang untuk membeli tanah, kemudiannya mendapatkan kelulusan yang diperlukan sebelum meneruskan pembinaan.
“Bagaimanapun, kami juga terbuka kepada pilihan untuk membeli kilang yang sudah siap dibina, yang akan menjimatkan masa.
“Ia semuanya bergantung kepada ketersediaan tanah di pasaran dan bangunan yang sesuai, dan kami sedang meneliti kedua-dua pilihan,” katanya pada sidang media bersempena dengan majlis penyenaraiannya hari ini.
Pada 9 pagi, syarikat itu membuat kemunculan pertama di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 39.5 sen, iaitu premium setengah sen berbanding harga IPO sebanyak 39 sen, dengan 37.91 juta saham didagangkan.
Ketika ini, Lim berkata kira-kira 80 peratus daripada perolehannya adalah dari Lembah Klang dan syarikat itu menyasarkan untuk berkembang di luar Lembah Klang seperti Pulau Pinang, Johor, Melaka dalam tempoh tiga tahun akan datang.
“Pada masa ini, kami mempunyai dua projek di wilayah utara, satu di Langkawi dan satu lagi projek hotel di Pulau Pinang.
“Sektor hospitaliti di kawasan itu sedang berkembang pesat dan banyak hotel dalam perancangan untuk dibangunkan.
“Di Johor, kami memohon tender bagi beberapa projek berkaitan pusat data dan tumpuan kami adalah di kedua-dua wilayah iaitu Pulau Pinang bagi hospitaliti dan Johor bagi pusat data,” katanya.
Beliau berkata secara keseluruhannya mengikut nilai, kira-kira 13 peratus daripada nilai tender syarikat itu berkaitan dengan pusat data, berjumlah sekitar RM1 bilion.
Mengulas mengenai dasar dividen, Lim berkata syarikat masih belum memuktamadkan dasar dividen kerana ia masih dalam mod pengembangan, dan kebanyakan dana akan dilaburkan semula bagi pertumbuhan berbanding diagihkan kepada pemegang saham.
“Tetapi saya berpendapat kami akan memperkenalkan dasar dividen dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial