EKONOMI > BERITA

MALAYSIA AKAN TERUS FOKUS KEPADA PASARAN BAHARU, TEROKA PASARAN BUKAN TRADISIONAL - TENGKU ZAFRUL

06/05/2025 11:50 AM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Malaysia akan terus memberi fokus kepada pasaran baharu di samping meneroka pasaran bukan tradisional bagi memastikan kepentingan ekonomi dan perdagangan negara kekal kukuh, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata kerajaan akan terus memberi peruntukan kepada syarikat-syarikat tempatan termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi meneroka pasaran baharu.

“Peruntukan ini akan memberi peluang kepada syarikat-syarikat tersebut untuk masuk ke pasaran baharu termasuk Rusia, benua Afrika, Timur Tengah dan juga Amerika Selatan,” katanya ketika sesi soal jawab bersempena sidang media pengumuman kad laporan prestasi MITI suku pertama 2025.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu sesi penerangan Sesi Mesyuarat Khas Dewan Rakyat berkenaan tarif Amerika Syarikat bahawa kerajaan akan menyediakan peruntukan tambahan berjumlah RM50 juta kepada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bagi menyegerakan usaha penerokaan pasaran baharu.

Tengku Zafrul turut memberitahu bahawa perdana menteri dijangka akan melakukan kunjungan rasmi ke Rusia dalam masa terdekat.

“Perdana Menteri dijangka mengadakan pertemuan dengan rakan-rakan dan syarikat-syarikat yang berdagang dengan Malaysia dan melabur di dalam Malaysia pada masa yang sama akan mengadakan perjumpaan dengan pelabur-pelabur Malaysia ke Rusia.

Sementara itu, Tengku Zafrul ketika membentangkan kad laporan prestasi MITI suku pertama 2025 berkata Malaysia akan meneroka lebih mendalam kolaborasi bersama BRICS, blok ekonomi Amerika Selatan (MERCUSOR) serta kepelbagaian pasaran. 

Kad Laporan suku pertama 2025 tersebut turut menjelaskan bahawa Malaysia akan menambah baik usaha perdagangan intra-ASEAN serta mempercepatkan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN dan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan