EKONOMI > BERITA

BOOST BANK SALUR HAMPIR RM150 JUTA PEMBIAYAAN KEPADA RATUSAN PKS

06/05/2025 03:28 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Boost Bank berjaya mencatat kejayaan ketara dalam usaha menjadi bank digital tempatan pertama di Malaysia, dengan hampir RM150 juta pembiayaan disalurkan kepada ratusan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Fozia Amanulla berkata dengan purata saiz pinjaman kira-kira RM300,000, momentum itu didorong oleh penyelesaian pembiayaan utama bank iaitu pinjaman berjangka dan kemudahan kredit pusingan yang dihasilkan bagi memenuhi pelbagai keperluan PKS.

Proses permohonan turut dipermudahkan dengan dokumentasi minimum, kelulusan pantas dan pilihan pembayaran balik yang fleksibel.

“Sejak kami mula menawarkan pembiayaan kepada PKS, misi kami adalah jelas iaitu untuk membantu usahawan menangani cabaran pembiayaan yang sering mereka hadapi.

“Untuk meraih pencapaian ini bukan sekadar soal angka. Ia menunjukkan apa yang boleh dicapai apabila pembiayaan dibuat dengan mudah, boleh diakses dan benar-benar berpaksikan kepada keperluan sebenar pemilik perniagaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fozia berkata ratusan PKS sudah menerima manfaat daripada penyelesaian itu, termasuk mereka yang terbabit dalam sektor jualan borong, pembuatan, runcit, pembinaan, makanan dan minuman.

Katanya, mereka menggunakan dana tersebut untuk menampung operasi harian, menguruskan aliran tunai dan mengembangkan perniagaan mereka dengan lebih lancar dan kurang halangan.

Sementara itu, beliau berkata tidak lama lagi, Boost Bank akan melancarkan platform digital baharu yang direka khusus untuk PKS.

“Ia akan melangkaui kemudahan pembiayaan bagi membantu perniagaan kecil menguruskan kewangan, pembayaran dan operasi mereka dengan mudah dan berkesan, sekali gus memudahkan usahawan untuk memberi tumpuan kepada usaha mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan