EKONOMI > BERITA

PERATURAN EKSPORT BAHARU LINDUNGI INTEGRITI INDUSTRI SARUNG TANGAN GETAH MALAYSIA

06/05/2025 04:05 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Pertubuhan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) menyifatkan peraturan terkini kerajaan yang mewajibkan sarung tangan getah dihasilkan sepenuhnya di Malaysia untuk tujuan eksport sebagai langkah yang tepat pada masanya dan perlu untuk melindungi integriti industri sarung tangan negara.

Pertubuhan itu berkata arahan berkenaan memberikan pelbagai manfaat kepada industri sarung tangan negara.

"Pertama sekali, ia mengukuhkan reputasi Malaysia untuk rantaian bekalan yang berkualiti dan telus tanpa kompromi, memberi jaminan yang jelas kepada pengimport dan penyedia penjagaan kesihatan bahawa sarung tangan yang dilabelkan sebagai 'Buatan Malaysia' benar-benar berasal dari sini.

“Ia juga menggalakkan persaingan yang adil dengan menghalang amalan pemindahan penghantaran yang merugikan pengeluar yang melabur di kilang tempatan, teknologi dan pekerja mahir Malaysia, sambil menyokong kemampanan industri jangka panjang melalui perbelanjaan modal yang berterusan, penyelidikan dan pembangunan, serta inovasi dalam pembuatan sarung tangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 2 Mei, Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata syarikat yang mengeksport sarung tangan getah mesti memastikan keseluruhan proses pembuatan produk mereka dilakukan dalam negara bagi melayakkan mereka menerima Sijil Asal yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Johari berkata Malaysia mengeluarkan kira-kira 348,000 tan getah setiap tahun, jauh lebih rendah berbanding permintaan industri yang melebihi satu juta tan, menjadikan import susu getah mentah dari Thailand sebagai satu keperluan untuk diproses dalam negara kepada produk siap.

Sementara itu, Presiden MARGMA Oon Kim Hung berkata arahan baharu itu akan membantu mengekang eksport semula sarung tangan siap yang bukan keluaran tempatan tetapi dihantar melalui pelabuhan Malaysia dengan berselindung sebagai produk Buatan Malaysia.

“Dengan memastikan setiap langkah penting dalam proses pembuatan dilakukan di bumi Malaysia, kita dapat melindungi kualiti produk, kebolehkesanan dan piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang ketat seperti yang dituntut oleh pembeli global,” katanya.

MARGMA berkata Malaysia mengeksport sarung tangan getah bernilai RM15.41 bilion pada 2024, menyumbang hampir separuh daripada jumlah eksport getah dan produk berasaskan getah negara.

Oon berkata dalam hal ini, MARGMA menyambut baik penjelasan Johari bahawa mengimport susu getah mentah terutamanya dari Thailand, masih dibenarkan.

“Malaysia pada masa ini mengeluarkan kira-kira satu pertiga daripada susu getah yang diperlukan oleh industri sarung tangan, menjadikan import komoditi itu penting bagi memastikan pengeluaran tidak terputus.

"Mengimport susu getah untuk pemprosesan dalam negara adalah sangat berbeza daripada mengimport sarung tangan siap, dan dasar ini membolehkan keseimbangan yang tepat antara mengekalkan kualiti dan memastikan keselamatan bekalan,” katanya.

MARGMA seterusnya berkata ia akan terus bekerjasama rapat dengan Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk menyokong pelaksanaan peraturan itu dengan lancar.

“Pertubuhan ini akan terus mengemas kini syarikat yang menjadi ahli mengenai prosedur pematuhan, dokumentasi dan kesiapsiagaan audit serta bekerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan untuk menghalang sebarang percubaan pengalihan dagangan yang boleh menjejaskan kedudukan global industri ini,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan