KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mengembangkan eksport Malaysia di pasaran sedang pesat membangun susulan peruntukan RM50 juta kerajaan untuk strategi pempelbagaian perdagangan globalnya.
Selain itu, MATRADE juga mengukuhkan hubungannya dengan pasaran tradisional seperti Amerika Syarikat (AS), China, ASEAN, dan Kesatuan Eropah (EU), sambil meningkatkan usaha untuk meneroka pasaran seperti Amerika Latin, Asia Tengah, Asia Selatan dan Afrika.
"Pada 2024, eksport Malaysia ke pasaran ini mencatatkan pertumbuhan yang menggalakkan terutamanya ke Asia Selatan dan Timur Tengah yang berkembang masing-masing sebanyak 11.8 peratus dan 6.3 peratus," kata agensi itu dalam satu kenyataan hari ini.
MATRADE berkata inisiatif bersasar seperti ekspo perdagangan, misi eksport, pemadanan perniagaan dan saluran digital seperti platform Madani Digital Trade (MDT) telah membantu pengeksport Malaysia terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mempelbagaikan ke pasaran baharu dan mengukuhkan hubungan perdagangan global.
Pada 5 Mei, kerajaan mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta kepada MATRADE untuk mempercepatkan usaha meneroka pasaran baharu.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata inisiatif itu merupakan bahagian utama strategi kerajaan MADANI untuk mengekalkan kestabilan ekonomi dan melindungi kepentingan negara dalam jangka pendek dan sederhana, terutamanya memandangkan tarif timbal balik yang dikenakan oleh AS ke atas Malaysia.
Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata peruntukan RM50 juta itu akan membolehkan agensi tersebut meningkatkan usaha pempelbagaian pasarannya dan memberikan sokongan yang lebih besar kepada pengeksport Malaysia.
"Kami komited kepada visi kerajaan MADANI dan akan terus berinovasi dan memanfaatkan sumber daya kami untuk memastikan perdagangan Malaysia kekal kukuh dan berdaya saing di pentas dunia,” katanya.
Beliau juga menggesa semua syarikat berorientasikan eksport terutamanya syarikat peringkat pertengahan (MTC) dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), untuk memanfaatkan peluang ini bagi mendapatkan sokongan untuk berkembang ke seluruh dunia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial