EKONOMI > BERITA

PUBLIC BANK DAPATI PENDEDAHAN KREDIT MINIMUM TERHADAP RISIKO TARIF AS

08/05/2025 04:13 PM

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Public Bank Bhd mendapati pendedahan kredit yang minimum terhadap potensi risiko tarif Amerika Syarikat (AS) dengan anggaran kurang daripada tiga peratus daripada jumlah keseluruhan pinjamannya mungkin terjejas.

Dalam pada itu, kata bank berkenaan, kualiti aset bank juga dijangka kekal stabil.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Tan Sri Tay Ah Lek berkata bank itu mengakui pemegang saham bimbang terhadap ketidaktentuan yang berterusan berkaitan dasar perdagangan AS dan kesannya terhadap ekonomi Malaysia serta bank tersebut.

"Bagi Public Bank, sesuatu yang tidak penting mengenai pendedahan kredit kami kepada peminjam yang mungkin terjejas secara langsung.

"Dianggarkan kurang daripada tiga peratus daripada jumlah keseluruhan pinjaman mungkin terjejas. Oleh itu, kualiti aset dijangka kekal stabil," katanya sewaktu sesi soal jawab pada mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-59 bank itu hari ini.

Tay berkata sektor perbankan tidak mungkin menghadapi kesan langsung daripada potensi tarif AS, tetapi mungkin terjejas secara tidak langsung sekiranya keadaan ekonomi secara keseluruhan merosot akibat ketegangan perdagangan.

Beliau berkata kenaikan tarif pada masa ini ditangguhkan sekali gus memberi kelegaan sementara.

"Kami yakin akan terus mengharungi ketidaktentuan semasa dari kedudukan yang kukuh.

"Bagi operasi serantau kami, kerajaan di negara masing-masing sedang berunding dan meneroka strategi untuk mengurangkan kemungkinan kesan negatif," katanya.

Walaupun hasil akhirnya masih tidak pasti, Tay berkata bank itu mengambil langkah berjaga-jaga untuk lebih berhati-hati dalam aktiviti pemberian pinjamannya.

Dalam perkembangan lain, Tay berkata Public Bank menyasarkan pembayaran dividen yang lebih tinggi iaitu 60 peratus daripada keuntungan bersih kumpulan bagi tahun kewangan 2025, bergantung kepada prestasi kewangan, penjimatan modal selain turut tertakluk kepada kelulusan pengawalseliaan.

Pada tahun kewangan 2024, bank itu membayar dividen sebanyak RM4.08 bilion mewakili 57 peratus daripada keuntungan bersihnya atau 21 sen sesaham.

Semasa AGM, pemegang saham meluluskan kesemua lima resolusi yang dibentangkan.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Pengerusi Public Bank, Lai Wan dan dihadiri oleh lembaga pengarah, ahli-ahli pengurusan kanan serta pemegang saham.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan