EKONOMI > BERITA

ASEAN, APEC PERLU SELARAS USAHA PENDIGITALAN UNTUK TINGKAT PERDAGANGAN - TENGKU ZAFRUL

15/05/2025 07:48 PM

Daripada Muhammad Muzammil Abdullah

JEJU, 15 Mei (Bernama) -- Negara-negara ASEAN dan ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) perlu meneruskan usaha penyelarasan inisiatif pendigitalan untuk meningkatkan perdagangan, pelaburan dan pertumbuhan transaksi antara kedua-dua rantau itu.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata sebagai pengerusi ASEAN, Malaysia telah mempergiat usaha untuk memuktamadkan rundingan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) bagi membantu memacu integrasi ekonomi serantau dan menyokong pertumbuhan ekonomi digital.

"Kami mengalu-alukan peluang untuk menyelaraskan usaha kemudahan digital APEC dan DEFA ASEAN, termasuk pengiktirafan bersama kelayakan digital dan skim pedagang yang dipercayai.

"Penyelarasan sedemikian boleh dicontohi dalam APEC," kata beliau semasa berucap pada Mesyuarat Menteri Bertanggungjawab bagi Perdagangan (MRT) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang diadakan di Jeju, Korea Selatan, hari ini.

Tengku Zafrul juga berkata ekonomi APEC tidak boleh terlepas pandang berkaitan kemungkinan risiko kecerdasan buatan (AI) terutamanya apabila inovasi digital yang pantas dan penggunaan AI mendedahkan negara kepada risiko yang lebih besar.

"APEC mesti berwaspada terhadap isu etika dan kawal selia serta gangguan teknologi yang berpunca daripada amalan dasar perlindungan.

"Kita mesti mewujudkan rangka kerja yang mengukuhkan tadbir urus data untuk memastikan aliran data rentas sempadan yang selamat, meningkatkan keselamatan siber dan mengorak langkah ke arah piawaian AI saling beroperasi yang menggalakkan integrasi perniagaan di rantau kita," katanya.

Beliau berkata negara anggota harus memastikan manfaat AI diagihkan secara saksama, menekankan bahawa kemampuan dan akses kepada instrumen perdagangan yang didayakan AI untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana perlu menjadi keutamaan serantau.

Tengku Zafrul berkata penyelarasan AI dan transformasi rantaian bekalan bukan sekadar peluang teknologi - ia adalah satu tindakan strategik untuk membina daya tahan, kemampanan dan daya saing di rantau ini.

"Potensi dan faedah AI tidak terhad. Saya menggesa perbincangan mengenai AI menjadi tunjang utama dalam APEC dan menggalakkan para pegawai untuk terus mencari jalan bagi mencapainya," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan