EKONOMI > BERITA

PEOPLELOGY SASAR PENGEMBANGAN KE SABAH, SARAWAK DAN ASIA TENGGARA MENJELANG 2026

20/05/2025 01:01 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- PEOPLElogy Bhd menyasar untuk mengembangkan penyelesaian pembangunan sumber manusia bersepadu ke seluruh Sabah, Sarawak dan rantau Asia Tenggara menjelang 2026.

Pengasas dan Pengarah Urusan Allen Lee berkata syarikat itu merancang untuk menubuhkan pejabat dan pusat latihan di Kota Kinabalu dan Kuching bagi memenuhi permintaan tempatan untuk meningkatkan kemahiran.

Selain itu, ia akan mengembangkan operasinya ke Indonesia, Filipina dan Singapura bagi menangani keperluan yang semakin meningkat dalam pembangunan bakat digital di rantau Asia Tenggara.

“Kami yakin akan berjaya dalam pasaran kerana berdasarkan kajian pasaran yang telah kami jalankan, semua syarikat yang kami dekati menyukai rangka kerja yang kami tawarkan.

“Kami amat teruja untuk mengesahkan komitmen kami terhadap misi untuk memberi impak kepada 10 juta kehidupan melalui penyelesaian pembelajaran yang inovatif dan transformatif,” katanya kepada pemberita selepas penyenaraian syarikat itu di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini.

PEOPLElogy mempunyai pejabat di Johor dan Kuala Lumpur serta telah melatih hampir 300,000 individu setakat ini.

PEOPLElogy membuat penampilan sulung pada harga 24 sen, satu sen di bawah harga tawaran awam permulaan (IPO) iaitu 25 sen dengan 1.30 juta saham diniagakan.

Daripada sejumlah RM26.25 juta hasil kasar yang diperoleh daripada IPO, Lee berkata syarikat itu akan menggunakan kira-kira 15 peratus untuk pengembangannya melalui pelaburan strategik, peluang penggabungan dan pengambilalihan, serta 11 peratus untuk pengembangan pejabat dan pusat latihan di Indonesia dan Filipina.

Selain itu, sebanyak 3.81 peratus akan diperuntukkan untuk pengembangan pejabat dan pusat latihan di Sabah dan Sarawak, manakala 0.38 peratus untuk penubuhan pejabat serantau di Singapura.

PEOPLElogy akan menggunakan 32.38 peratus daripada hasil untuk membiayai penubuhan makmal simulasi rangkaian komputer siber, 11.43 peratus untuk penyelidikan dan pembangunan perisian, manakala baki hasil akan digunakan untuk modal kerja dan perbelanjaan penyenaraian.

Lee berkata makmal simulasi rangkaian komputer siber itu akan meningkatkan program latihan dalam bidang keselamatan siber, data besar dan kecerdasan buatan (AI) syarikat.

Makmal itu akan menyediakan persekitaran secara maya bagi peserta untuk terlibat dalam senario dunia sebenar seperti mempertahankan diri daripada serangan siber dan menguruskan set data besar.

Berdasarkan modal saham PEOPLElogy yang diperbesarkan sebanyak 411.72 juta saham, permodalan pasaran syarikat dianggarkan sekitar RM102.93 juta.

Mengulas mengenai diskaun satu sen pada harga pembukaan, Lee berkata syarikat itu tidak dapat mengawal sentimen pasaran yang dipengaruhi oleh pelbagai faktor luaran.

Bagaimanapun, beliau kekal yakin dengan hala tuju dan keunikan syarikat itu dalam industri.

Beliau menambah PEOPLElogy akan terus mendidik pasaran kerana sesetengah pelabur mungkin belum sepenuhnya memahami model perniagaan syarikat itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan