KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Pemain beregu wanita negara Go Pei Kee-Teoh Mei Xing sekali lagi mencuri tumpuan apabila menewaskan juara Olimpik 2024, Chen Qing Chen yang bergandingan dengan Wang Ting Ge dari China, sekali gus mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Masters Malaysia 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.
Pei Kee-Mei Xing yang kini menghuni ranking ke-24 dunia mempamerkan aksi bertenaga untuk menundukkan pasangan itu 21-19, 21-19 dalam masa 53 minit iaitu kemenangan kedua mereka selepas Terbuka Jerman 2025 pada Februari lepas.
“Kali ini, kami ada harapan yang lebih tinggi. Pada awal perlawanan, kami bermula dengan baik tetapi kemudian mula melakukan beberapa kesilapan dan rasa gugup tapi hari ini kami berjaya atasi semua itu.
“Kami agak gementar juga sebab dia (Qing Chen) masih lagi juara Olimpik dan sangat berpengalaman tapi kami sangat hargai peluang untuk menentang mereka,” kata Mei Xing kepada pemberita di sini hari ini.
Ditanya mengenai pertemuan menentang pilihan ketujuh kejohanan Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian dari China pada pusingan kedua, susulan kemenangan mereka ke atas wakil negara Ong Xin Yee-Carmen Ting (21-11, 17-21, 21-13), Mei Xing berkata kemenangan hari ini menjadi tonik terbaik untuk menghadapi cabaran esok.
Sementara itu, beregu lelaki negara Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian menewaskan pilihan kelapan dari Thailand Kittinupong Kedren-Decaphol Puavaranukroh, 21-15, 21-18 pada pusingan pertama yang mengambil masa 40 minit.
Kemenangan itu adalah yang pertama buat mereka selepas enam kali terkandas di pusingan pertama sejak Terbuka China pada September tahun lepas, sekali gus menjadi pembakar semangat buat Muhammad Haikal yang pernah mengalami kecederaan otot paha sejak Disember lepas.
“Sudah tentu saya rasa sangat gembira tapi masih banyak yang perlu diperbaiki. Aksi di gelanggan sendiri beri semangat tambahan kepada kami. Saya rasa selesa selepas kembali daripada kecederaan, cuma bila lama bermain mula berasa lenguh sebab ini kejohanan pertama saya sejak pulih,” katanya.
Dalam satu lagi aksi, beregu lelaki negara Low Hang Yee-Ng Eng Cheong turut mara ke pusingan kedua selepas menewaskan wakil Taiwan Chiang Chien Wei-Wu Hsuan Yi 21-14, 21-16.
Namun nasib tidak menyebelahi pasangan lelaki profesional negara Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong apabila tewas di tangan Liu Kuang Heng-Yang Po Han dari Taiwan, 19-21,15-21.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial