EKONOMI > BERITA

MALAYSIA AKAN TERUS SOKONG PEMBANGUNAN PENDIGITALAN DAN AI DI RANTAU INI - PM ANWAR

22/05/2025 01:20 PM

PUTRAJAYA, 22 Mei (Bernama) -- Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 akan terus menyokong pembangunan pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI) di negara-negara jiran, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata Malaysia bersama-sama ASEAN perlu menjadi lebih berdaya saing dalam sektor hab digital berikutan negara ini telah menerima reputasi yang berdaya saing melalui kestabilan politik dan dasar yang jelas.

"Teras utama kepengerusian ASEAN kami adalah kepada peralihan tenaga, dan kami juga agak berjaya dengan Vietnam dan Singapura dalam grid tenaga ini. Tetapi tumpuan, teras kepengerusian kami, adalah transformasi digital.

“Ini akan membawa kepada perkara yang akan kita bincangkan pada akhir minggu ini apabila kita bertemu dengan kalangan pemimpin ASEAN, dan seterusnya dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) serta China,” kata beliau ketika berucap merasmikan MaiStorage Technology di sini hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dan Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan MaiStorage Datuk Pua Khein Seng.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata susulan pelancaran MaiStorage Technology di sini, langkah ini memberikan usaha sama awal kepada kerajaan untuk meneroka bidang AI.

Anwar berkata peranan agensi kerajaan seperti Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, TalentCorp dan kerajaan negeri Selangor yang memberi dukungan kepada MaiStorage membawa kejayaan bukan kepada sahaja syarikat itu, malah kepada negara.

“Saya ingat kita (dan Pua) bertemu awal tahun lepas pada Ogos. Oktober mula beroperasi dan hari ini melihat hasil termasuk keuntungannya kerana ini meletakkan kita dalam satu usaha yang agak baharu yang kita sebut dalam konteks MADANI, iaitu daya cipta.

“Dalam memastikan tahap kemajuan yang lebih besar, ada beberapa bidang yang harus kita teroka yang agak sukar dan kita bernasib baik kerana anak tempatan (Pua) sudah menjelajah ke antero dunia dan meletakkan industri yang berjaya di dunia, iaitu Phison Group,” kata Perdana Menteri.

MaiStorage iaitu sebahagian daripada Phison Group -- pembekal pengawal NAND ‘flash’ dan penyelesaian storan yang turut diasaskan oleh Pua, adalah penyedia teknologi reka bentuk litar bersepadu dan storan yang memberi fokus kepada pusat data, aplikasi AI dan industri automotif di Malaysia.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menekankan kepentingan pelaksanaan dasar yang berkesan dan tadbir urus baik bagi memastikan hasil yang mampan.

“Cabaran terbesar kita adalah pelaksanaan yang berkesan. Sebab itu saya dan pasukan memberi tumpuan awal kepada soal tadbir urus. Dengan disiplin, dasar yang jelas dan pelaksanaan telus tanpa rasuah, kita boleh menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama pelaburan dalam bidang AI dan digital,” kata beliau.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan