EKONOMI > BERITA

ARMANI GROUP PERKENAL BARISAN KULINARI BERTARAF DUNIA DI ARMANI HALLSON KLCC

08/10/2025 07:48 PM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Armani Group bekerjasama dengan Serendipity Assets Management bagi memperkenalkan barisan kulinari bertaraf dunia di Armani Hallson KLCC.

Barisan ini menampilkan cef bertaraf tiga bintang Michelin, Alvin Leung; pemenang Anugerah Cef Muda Michelin Kuala Lumpur/Pulau Pinang 2024, Johnson Wong serta jenama gaya hidup global, Roosevelt Club.

Gabungan ini akan menyaksikan pelancaran empat konsep sajian utama dalam pembangunan mewah Segitiga Emas Kuala Lumpur termasuk restoran berkonsep oleh Leung dan Wong serta dua cawangan Roosevelt Club iaitu Steak by Roosevelt dan sebuah restoran sajian Cina moden.

Pengerusi Eksekutif Armani Group, Datuk Seri Bryan Wong berkata Armani Hallson KLCC bukan sekadar sebuah pembangunan, malah merupakan titik pertemuan antara prestij, kecanggihan dan budaya.

"Kami berbangga untuk menyambut kehadiran pakar kulinari Alvin Leung, Johnson Wong dan Roosevelt Club bagi mewujudkan pengalaman menjamu selera yang bukan sahaja popular di Malaysia, malah di seluruh dunia," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Presiden Serendipity Assets Management dan Roosevelt Private Equity, Tim TL Tse berkata keputusan untuk bekerjasama dengan Armani Group ditetapkan sejak dari awal lagi.

“Lokasinya yang ikonik, reka bentuk bertaraf dunia dan cita-cita yang tinggi mencerminkan kecemerlangan dan inovasi yang turut menjadi teras kepada Roosevelt Club.

“Bersama ‘The Demon Chef’ Alvin Leung yang bertaraf Michelin dan Cef Muda Terbaik (Michelin 2024) Johnson Wong, kami yakin ini akan menjadi detik penting dalam landskap kulinari global Kuala Lumpur,” kata Tse yang juga merupakan pengasas Roosevelt Club.

Armani Group berkata Leung meraih pelbagai bintang Michelin untuk restoran-restorannya yang terkenal di Hong Kong, London, Shanghai dan lain-lain.

Dikenali dengan masakan “X-Treme Chinese” dan penampilannya di MasterChef Canada, Wok Stars serta The Maverick Academy, Leung baru-baru ini melawat Galeri Jualan Armani Hallson KLCC menjelang pembukaan restorannya yang menjadi ikonik.

Armani Group menekankan gabungan ini mentakrif semula kemewahan moden dengan menjadikan Armani Hallson KLCC sebagai destinasi apabila gaya hidup mewah dan gastronomi bertaraf dunia bertemu.

Dengan anggaran nilai pembangunan kasar sebanyak RM3 bilion, Armani Hallson KLCC yang dilancarkan pada Ogos 2025 mencapai kadar penjualan sebanyak 70 peratus dan sedang berkembang pesat sebagai pusat kecemerlangan kulinari dan gaya hidup di tengah-tengah Kuala Lumpur.

Untuk pertanyaan jualan, layari armanihallsonklcc.com.my atau hubungi 03-48100413 untuk maklumat lanjut.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan