SUKAN > BERITA

HAQIMI AZIM KEMBALI, HARIMAU MUDA YAKIN CABAR THAILAND - MOHD NAFUZI

13/12/2025 02:13 PM

Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

BANGKOK, 13 Dis (Bernama) -- Penyerang Muhammad Haqimi Azim Rosli akan kembali bersama dengan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan menjelang perlawanan separuh akhir bola sepak lelaki Sukan SEA Thailand 2025 menentang pasukan tuan rumah di sini, Isnin depan.

Ketua jurulatih kebangsaan Mohd Nafuzi Zain berkata Muhammad Haqimi yang dibenarkan pulang untuk mengurus pengebumian bapa tirinya Shahrol Asikin Mohd Shariff pada Selasa lepas, dijadualkan tiba dan melapor diri bersama pasukan petang ini.

“Memang dia (Muhammad Haqimi) baru melalui waktu yang sukar, tetapi dia sendiri maklumkan jika pasukan layak ke separuh akhir dia akan kembali. 

“Kita pun memang perlukan dia sebab ada beberapa pemain yang cedera, jadi kita mengharapkan dia kerana dia satu-satunya penyerang yang kita ada,” katanya ketika ditemui pemberita di hotel pasukan di sini, hari ini.

Muhammad Haqimi yang menjaringkan satu gol dalam kemenangan 4-1 Malaysia menentang Laos pada aksi pertama Kumpulan B Sabtu lepas, terpaksa meninggalkan pasukan untuk pulang ke tanah air, sekali gus terlepas aksi kedua menentang Vietnam yang menyaksikan Malaysia tewas 0-2 pada Khamis lepas.

Pada masa sama, Mohd Nafuzi berkata penyerang Sabah FC Fergus Tierney turut tidak dapat memperkuat pasukan bagi pertemuan menentang Thailand susulan perlawanan akhir Piala FA yang menemukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan Sabah, esok.

Sementara itu, Mohd Nafuzi berkata skuad Harimau Muda sudah bersedia untuk berdepan dengan Thailand dalam misi melayakkan diri ke final dan memenangi pingat emas.

Beliau optimis anak buahnya yang telah mencapai sasaran awal dengan melepasi saingan peringkat kumpulan, berupaya mencipta kejutan biarpun Thailand mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri.

“Dari segi permainan dan kualiti individu, Thailand ialah satu pasukan yang baik, tetapi dengan kita layak ke separuh akhir sedikit sebanyak mengubah situasi perlawanan dan saya percaya motivasi serta persembahan pemain berada pada tahap yang tinggi,” katanya.

Satu lagi aksi separuh akhir menyaksikan Vietnam bertemu Filipina.

Dalam pada itu, pemain pertahanan negara Ahmad Aysar Hadi Mohd Shapri menggesa rakan sepasukan supaya memberikan 100 peratus tumpuan dan tidak terlalu menghormati lawan sehingga boleh menjejaskan permainan.

“Semestinya pasti ramai peminat (Thailand) akan datang ke stadium. Tak perlu gugup ataupun gementar. Kita bermain sebagaimana yang kita harus bermain dan beri tumpuan penuh apabila berada di dalam padang.

“Saya mengharapkan semua pemain fokus kepada sasaran yang sepatutnya kita cari, untuk kita dapatkan pingat emas,” katanya.

Sebagai rekod, Malaysia terkandas seawal peringkat kumpulan pada edisi 2023 di Kemboja selepas tewas dalam aksi penentuan pingat gangsa pada edisi 2021 di Hanoi. 

Kali terakhir skuad negara menaiki podium adalah ketika memenangi pingat perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan