EKONOMI > BERITA

YTL COMMUNICATIONS LANCAR RANGKAIAN 5G ADVANCED PERTAMA

10/10/2025 01:16 PM

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- YTL Communications menjadi telco pertama di Malaysia untuk melancarkan 5G Advanced secara komersil melalui jenama perkhidmatannya, Yes.

Pelancaran itu yang telah dimulakan di Lembah Klang, dijangka akan dikembangkan ke seluruh negara menjelang Disember 2025, menyampaikan liputan 5G yang lebih mendalam, prestasi yang lebih laju dan ketersambungan sedia kecerdasan buatan (AI) untuk memberi manfaat kepada pengguna serta perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications, Wing K. Lee berkata ini lebih daripada sekadar peningkatan rangkaian; ia akan menjadi pengubah keadaan.

"Melalui 5G Advanced, rakyat Malaysia dapat menikmati liputan 5G yang lebih luas serta lebih mendalam di seluruh negara dan rangkaian tanpa wayar berprestasi tinggi yang tidak pernah dialami oleh negara ini sebelumnya," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini. 

Wing menjelaskan dengan memanfaatkan integrasi spektrum termaju pada 700 megahertz (MHz) dan 3500MHz, 5G Advanced Yes menawarkan penembusan dalaman yang lebih mantap serta liputan luaran yang lebih luas, menghubungkan pengguna kepada 5G yang lebih konsisten untuk data dan suara (melalui Voice over New Radio), pada masa yang sama memberikan prestasi 5G terbaik.

5G Advanced juga menawarkan ciri-ciri "VIP Lane" yang akan memastikan sambungan yang konsisten merentasi rangkaian 5G Yes.

Dengan daya pemprosesan yang tinggi untuk muat turun, muat naik, kependaman ultra-rendah dan pengurusan trafik pintar, 5G Advanced Yes memastikan prestasi terbaik dalam kelasnya,  merentasi aktiviti seperti penstriman, permainan dan aplikasi perindustrian kritikal misi, kata pengendali mudah alih itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan