KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Kerajaan bercadang menaikkan jumlah kemudahan pinjaman dan jaminan kerajaan yang tersedia untuk manfaat usahawan tempatan kepada RM50 bilion tahun depan daripada RM40 bilion, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata lebih RM2.5 bilion pinjaman mikro disediakan antaranya menerusi Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN).
Jumlah jaminan kerajaan di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) ditingkatkan kepada RM30 bilion daripada RM20 billion, kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar berkata selain menjamin syarikat sektor bernilai tinggi, skop SJPP turut diperluas bagi menjamin usahawan mikro.
Kerajaan juga memperuntukkan RM50 juta kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia sebagai dana pembiayaan untuk menyokong perusahaan badan-badan koperasi seluruh negara, kata beliau.
Perdana Menteri berkata bagi meluaskan capaian kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dana Bank Negara Malaysia (BNM) akan beralih kepada sokongan berasaskan jaminan, dengan tumpuan kepada segmen yang kurang mendapat akses pembiayaan serta aktiviti berimpak tinggi seperti pendigitalan, automasi, inovasi dan peralihan hijau.
Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) digalakkan menerima guna teknologi dan pendigitalan, kata beliau.
Beliau berkata institusi kewangan pembangunan (DFI) menyediakan pembiayaan dan geran hampir RM1 bilion untuk menyokong automasi proses dan pendigitalan operasi perniagaan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan hari ini membentangkan Belanjawan 2026 dengan peruntukan kerajaan berjumlah RM419.2 bilion.
Ketika membentangkan belanjawan itu di Parlimen petang Jumaat, Anwar berkata daripada jumlah tersebut, RM338.2 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus (OE) manakala baki RM81 bilion sebagai perbelanjaan pembangunan (DE).
Belanjawan yang mengangkat tema ‘Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat’ itu merupakan edisi keempat dalam siri Belanjawan MADANI dan yang pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial