EKONOMI > BERITA

BELANJAWAN 2026 PERKUKUH KOMITMEN KERAJAAN KE ARAH TINGKATKAN TADBIR URUS CUKAI - PWC MALAYSIA

11/10/2025 10:44 PM

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2026 mengukuhkan komitmen kerajaan untuk mempertingkat tadbir urus cukai dan langkah-langkah antiketirisan, mencerminkan usaha berterusan dalam meningkatkan ketelusan fiskal dan penguatkuasaan, menurut PwC Malaysia.

Ketua Percukaiannya, Steve Chia berkata penekanan terhadap tadbir urus dan penguatkuasaan adalah berasaskan pembaharuan yang telah diperkenalkan pada tahun-tahun sebelumnya seperti Nombor Pengenalan Cukai (TIN), perintis e-Invois dan memperkemas pentadbiran cukai.

Katanya pendekatan kerajaan dalam Belanjawan 2026 adalah lebih tegas dan memberikan mesej yang jelas — pematuhan secara sukarela digalakkan tetapi penguatkuasaan akan dilaksanakan dengan tegas.

Mengenai cukai karbon, Chia berkata langkah tersebut, yang dijadualkan diperkenalkan pada tahun depan serta meliputi sektor besi, keluli dan tenaga, perlu dirangka dengan definisi yang jelas, kadar yang dapat dijangka dan pelaporan yang baik untuk memacu pelaburan pelepasan rendah karbon.

Beliau turut menekankan kepentingan menyelaraskan dasar tersebut dengan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan dan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara yang akan datang.

Sementara itu, Ketua Cukai dan Undang-Undang Deloitte Malaysia Sim Kwang Gek berkata Belanjawan 2026 memberikan butiran terhad mengenai mekanisme pelaksanaan cukai karbon dan kerajaan dilihat sedang memperhalusi dasar tersebut bagi mengelak membebankan perniagaan.

Beliau menyambut baik Dana Kesiapsiagaan Pelarasan Sempadan Karbon RM50 juta yang akan membantu pengeksport mematuhi langkah-langkah sempadan karbon Kesatuan Eropah (EU) dan United Kingdom, melihatnya sebagai tepat pada masanya menjelang pelaksanaan Mekanisme Pelarasan Sempadan Karbon (CBAM) EU pada Januari 2026.

“Cukai karbon akan menghalang ketirisan cukai berikutan pembayaran di bawah CBAM oleh pengeksport Malaysia sebaliknya akan dikutip dalam negara,” katanya.

Pada peringkat isi rumah, Chia mengalu-alukan peluasan pelepasan cukai individu sebanyak RM2,500 untuk merangkumi pembelian mesin rincih sisa makanan yang menggalakkan gaya hidup lestari.

Sementara itu, Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) Datuk Ng Yih Pyng berkata komuniti perniagaan berasa lega berikutan Belanjawan 2026 tidak mencadangkan cukai baharu berdasarkan kos operasi yang tinggi dan permintaan rendah yang sedang dihadapi oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Beliau mengalu-alukan penerimaan kerajaan terhadap beberapa cadangan ACCCIM termasuk Geran Pembangunan Pasaran (MDG), tenaga hijau, pelaburan pertanian, hartanah dan Elaun Modal Dipercepatkan (ACA).

“Walaupun kami mengalu-alukan cadangan kenaikan MDG kepada RM60 juta, dicadangkan kadar cukai khas boleh dipertimbangkan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang telah mencatatkan peningkatan yang ketara dalam pertumbuhan eksport mereka.

“Susulan peruntukan MDG yang lebih tinggi, kami berharap MATRADE dapat mempertimbangkan untuk meningkatkan had seumur hidup MDG kepada RM500,000 selain menaikkan siling setiap tuntutan kepada RM35,000 bagi pameran dan ekspo perdagangan antarabangsa serta RM10,000 bagi pameran dan ekspo perdagangan yang diadakan dalam negara,” katanya.

Ng berkata Belanjawan 2026, bagaimanapun, tidak menyediakan had pendapatan bercukai yang lebih tinggi bagi PKS yang menikmati kadar cukai pendapatan keutamaan sebanyak 15 peratus, yang pada masa ini dikenakan ke atas RM150,000 pertama daripada pendapatan bercukai.

“Ambang pendapatan bercukai yang lebih tinggi untuk kadar cukai yang lebih rendah bukan sahaja akan meringankan beban kewangan PKS, malah turut menyediakan lebih banyak penjimatan untuk perbelanjaan perniagaan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan