KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Pelaburan gabungan di bawah Dana Perintis Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Jelawang Capital Khazanah Nasional Bhd akan meningkat kepada RM750 juta berbanding RM550 juta sebelum ini.
Langkah ini bagi mempercepat pembangunan ekosistem syarikat pemula niaga dan inovasi di Malaysia serta memupuk perusahaan yang menyumbang kepada kemajuan teknologi dan penciptaan peluang pekerjaan.
Ketua Pegawai Eksekutif KWAP Datuk Nik Amlizan Mohamed berkata di bawah inisiatif Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) melalui Dana Pemacu dan Dana Perintis, KWAP kekal komited dalam menggerakkan modal bagi memperkukuh ekosistem pelaburan Malaysia dan menjadi pemangkin kepada enjin pertumbuhan negara yang seterusnya.
“Sehubungan itu, sebanyak RM1.2 bilion telah diperuntukkan di bawah Dana Pemacu bagi membina landskap pelaburan domestik bertenaga, memfokuskan kepada sektor berimpak tinggi seperti peralihan tenaga, keterjaminan makanan dan ekonomi digital, yang kesemuanya sejajar dengan penekanan Belanjawan 2026 terhadap industri berasaskan inovasi dan penciptaan nilai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata KWAP dan Khazanah Nasional akan bersama-sama melabur sebanyak RM550 juta dalam ekosistem semikonduktor.
Menurutnya langkah strategik ini bertujuan mengukuhkan kerjasama antara firma tempatan dan penggiat multinasional sekali gus memperteguh kedudukan Malaysia sebagai hab global bagi pembuatan bernilai tinggi dan teknologi termaju.
Selain itu, KWAP melalui kerjasama strategik dengan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang turut memperuntukkan RM300 juta untuk melaksanakan projek kediaman warga emas di tanah Baitulmal di Kepala Batas, Pulau Pinang.
KWAP juga sedang menilai pelaksanaan projek seumpamanya di lokasi lain bagi memberi manfaat kepada lebih ramai warga emas daripada isi rumah berpendapatan rendah.
“Pada masa akan datang, KWAP akan terus melabur secara berfokus -- memperkukuh daya tahan kewangan negara sambil meningkatkan kualiti hidup golongan yang menerima perkhidmatan kami,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial