EKONOMI > BERITA

KERAJAAN OPTIMIS SASARAN TERTINGGI PERTUMBUHAN EKONOMI 4.8 PERATUS BAGI 2025 DAPAT DICAPAI - AMIR HAMZAH

10/12/2025 08:29 PM

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Kerajaan yakin pertumbuhan ekonomi negara mampu mencapai paras ambang tertinggi yang disasarkan iaitu 4.8 peratus pada 2025, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. 

Beliau berkata keyakinan itu mencerminkan aktiviti ekonomi negara kekal berdaya tahan dan keyakinan pelabur terus meningkat terhadap potensi ekonomi Malaysia. 

Jelas beliau kedudukan ini turut disokong oleh peningkatan pelaburan yang diluluskan bagi tempoh 21 bulan terkini (Januari 2024 hingga September 2025) iaitu sebanyak RM663.7 bilion. 

"Selain itu, kadar inflasi terus menyederhana kepada 1.3 peratus pada Oktober 2025," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 bagi Kementerian Ekonomi di Dewan Negara hari ini. 

Amir Hamzah yang turut menjalankan fungsi dan tanggungjawab Menteri Ekonomi berkata pertumbuhan ekonomi negara pada 2026 akan dipacu oleh jangkaan perbelanjaan domestik yang kukuh, disokong dengan kadar inflasi yang sederhana dan peningkatan pendapatan berikutan pasaran buruh yang stabil. 

"Kerajaan akan memastikan setiap ringgit yang dibelanja memberi manfaat kepada rakyat. Kedudukan fiskal negara akan terus diperkukuh melalui penguatkuasaan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (Akta 850).

"Kerajaan yakin unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 4.0 peratus hingga 4.5 peratus bagi tahun 2026 akan dapat dicapai," ujar beliau. 

Sementara itu, mengulas berhubung Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan Belanjawan 2026, Amir Hamzah menegaskan penyediaan belanjawan tahunan telah diselaraskan sepenuhnya dengan kerangka RMK13 dan agenda pembangunan Ekonomi MADANI. 

"Pelaksanaan projek RMK13 dan belanjawan tahunan turut  bergerak seiring bagi memastikan keberkesanan dasar, kecekapan perbelanjaan dan impak pembangunan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat," tambahnya. 

Selain itu, Amir Hamzah turut menekankan bahawa penglibatan syarikat tempatan akan diberi keutamaan dalam industri yang mempunyai pertumbuhan dan nilai yang tinggi serta sektor strategik berimpak tinggi. 

"Pada tahun 2024 hingga September 2025, sebanyak RM5.54 bilion pelaburan strategik berkaitan semikonduktor telah diluluskan kepada lima syarikat antarabangsa dan tempatan. 

"Pelaburan ini dijangka menyumbang kepada pertumbuhan industri semikonduktor dan memastikan lebih banyak penghasilan produk dan perkhidmatan ‘Made by Malaysia’ yang bernilai tinggi," tambahnya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan