KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Cadangan untuk memasukkan ‘Lemon Law’ di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 bagi melindungi pembeli daripada kenderaan rosak atau cacat, disifatkan positif terhadap keyakinan pasaran automotif, kata RHB Investment Bank Bhd.
Bank itu berkata dengan pengenalan undang-undang tersebut, ia berpotensi menggalakkan pengguna mempertimbangkan jenama automotif baharu.
Proton dan Perodua antara jenama yang bersedia mematuhi peraturan tersebut memandangkan skala operasi, rangkaian selepas jualan dan sistem kualiti mereka yang mantap, katanya.
“Secara keseluruhannya, kami melihat langkah ini positif dari segi struktur bagi sektor automotif memandangkan ia akan meningkatkan ketelusan dan menambah baik piawaian industri,” katanya dalam satu nota hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2026 semalam mengumumkan bahawa kerajaan akan meminda Akta Perlindungan Pengguna bagi memasukkan elemen Lemon Law untuk memastikan perlindungan lebih menyeluruh kepada pengguna.
Dalam pada itu, RHB Investment Bank mengekalkan penarafan neutral terhadap sektor automotif, terutamanya disebabkan jumlah keseluruhan industri (TIV) dijangka lebih lemah berikutan jumlah jualan kembali normal pada separuh kedua tahun ini serta persaingan yang semakin sengit dalam segmen bukan nasional.
“Kami juga tidak menjangka sebarang pemangkin baharu dalam masa terdekat yang mampu meningkatkan semula jualan TIV ke paras tertinggi baharu,” katanya.
Sementara itu, Kenanga Investment Bank berpandangan bahawa keputusan kerajaan untuk menamatkan pengecualian cukai eksais bagi kenderaan elektrik (EV) import sepenuhnya (CBU) memberi kelebihan kepada jenama nasional, yang mempunyai kadar lokaliti lebih tinggi serta menikmati rebat tambahan daripada kerajaan bagi pembelian kereta nasional.
Ia berkata bermula 1 Jan, 2026, kadar duti import EV CBU akan meningkat antara 30 hingga 100 peratus (cukai import akan dikenakan semula sebanyak 10 hingga 30 peratus daripada harga kereta dan duti eksais antara 50 hingga 100 peratus).
“Selain itu, had pengecualian cukai kenderaan mewah di Langkawi dan Labuan dijangka menggalakkan pembelian awal, sejajar dengan unjuran Kenanga bahawa jualan TIV tahun ini akan melebihi 800,000 unit,” katanya.
Menurut bank pelaburan itu lagi, minat pembelian awal juga dijangka meningkat berikutan ketidaktentuan mengenai peraturan duti eksais baharu yang dijadual dilaksanakan mulai 1 Jan, 2026, yang berpotensi menyebabkan harga kenderaan pemasangan tempatan meningkat antara 10 hingga 30 peratus.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial