EKONOMI > BERITA

MAHSIA MEDIA HASRAT PERKASA KOMUNIKASI JENAMA

13/10/2025 10:25 PM

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Sebuah syarikat baharu muncul dalam industri media dan pemasaran negara menerusi pelancaran rasmi Mahsia Media Group Sdn Bhd semalam, sebuah firma perunding komunikasi jenama yang diasaskan oleh Datuk Dr Calvin Khiu.

Mahsia Media dalam kenyataan memaklumkan matlamatnya ialah untuk membantu perusahaan dan jenama meningkatkan keterlihatan, kredibiliti serta keterlibatan khalayak dalam era digital.

Khiu yang juga Pengasas dan Pengerusi MK Curtain Berhad berkata penubuhan Mahsia Media didorong oleh pengamatannya bahawa banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) khususnya selepas pandemik, masih menghadapi cabaran dalam mendapatkan pendedahan, komunikasi serta kekangan kewangan.

“Setiap jenama memiliki cerita tersendiri untuk dikongsikan. Mahsia Media bukan sekadar sebuah syarikat media, tetapi juga sebuah perunding pemasaran jenama. Menerusinya, saya berharap lebih banyak perusahaan dapat menyampaikan kisah mereka kepada dunia.

“Matlamat kami bukan sekadar menyediakan perkhidmatan pengiklanan dan promosi, tetapi juga menjadi penghubung bagi pertumbuhan bersama antara perusahaan dan ekosistem media. Kami berharap dapat menjalin kerjasama dengan lebih banyak pihak media, institusi dan jenama bagi membina ekosistem media yang bernilai melalui pendekatan menang-menang,” katanya dalam kenyataan itu.

Beliau berkata Mahsia Media adalah platform pemasaran bersepadu yang berorientasikan manusia, dengan komitmen untuk membantu jenama berkembang dari peringkat dikenali kepada kredibiliti dan akhirnya meraih kepercayaan.

Pada majlis pelancaran itu, Mahsia Media memperkenalkan lapan pemacu pertumbuhan jenama yang dirangka untuk memperkukuh komunikasi jenama melalui inovasi, integrasi dan pembinaan kepercayaan.

Ia meliputi sistem bagi pemulihan kepercayaan, reka bentuk pengalaman pelanggan, pengaruh kandungan, ekosistem jenama peribadi, rangkaian pengaruh, integrasi omni-media, kesahihan jenama dan kecerdasan kesedaran terhadap jenama.

“Majlis pelancaran itu menarik kehadiran lebih 300 pemimpin korporat, wakil media dan pempengaruh sosial termasuk Tengku Datuk Dr Hishammuddin Zaizi dan Naib Presiden Dewan Perniagaan ASEAN Datuk Sohaimi Shahadan,” menurut kenyataan itu.

Majlis itu juga menampilkan upacara penyampaian anugerah “Voice of the Year” yang mengiktiraf 17 individu yang telah memberikan sumbangan positif dalam penstriman langsung dan komunikasi jenama antaranya Loh Wei Hong (HH Boss), Low Tzy Yin (Miss Little Sister), Josephine Quay (Jo Mama) dan Ivan Tan (Cef Ivan).

Selain itu, ia turut diserikan dengan penampilan istimewa 40 finalis Miss Tourism International 2025, yang melambangkan visi global Mahsia Media dalam mempromosikan budaya, pelancongan dan komunikasi kreatif.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan