EKONOMI > BERITA

PERJANJIAN PERDAGANGAN TIMBAL BALIK DIJANGKA DIMETERAI MALAYSIA-AS PERJANJIAN ADIL, SEIMBANG

15/10/2025 08:24 AM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Perjanjian Perdagangan Timbal Balik yang dijangka ditandatangani Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 minggu depan disifatkan sebagai perjanjian adil bagi kedua-dua pihak dengan mengambil kira kepentingan masing-masing, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata delegasi perundingan AS telah berada di Malaysia sejak Ahad lepas bagi memuktamadkan perjanjian berkenaan susulan persetujuan yang dicapai antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden AS Donald Trump untuk menandatangani perjanjian itu.

“Pada masa sama, kedua-dua negara telah mengemukakan kedudukan masing-masing dengan cara diplomatik dan sistematik untuk mencapai keberhasilan yang adil dan saksama untuk kedua-dua pihak.

“Kini, kita sedang memuktamadkan perjanjian ini supaya seimbang dan mengutamakan kepentingan rakyat dan syarikat tempatan kita,” katanya dalam program Ruang Bicara bertajuk ‘Memperkasakan Ekonomi & Strategi Rundingan Tarif’ yang dihoskan oleh Datuk Sherkawi Jirim, terbitan Bernama TV pada Selasa.

Menurutnya sepanjang rundingan bersama pihak AS, kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat serta perniagaan tempatan, termasuk beberapa garis merah seperti isu berkaitan Bumiputera, halal dan perolehan terus terpelihara.

Tengku Zafrul turut menyuarakan kebimbangan mengenai beberapa isu yang mungkin akan dibangkitkan termasuk isu tarif melibatkan sektor semikonduktor dan sektor lain yang terletak di bawah Seksyen 232.

“Setakat ini, perbincangan hanya tertumpu kepada asas tarif,” katanya.

Seksyen 232 Akta Perluasan Perdagangan 1962 itu membenarkan AS mengenakan tarif tambahan atas alasan keselamatan negara.

Pada 25 September lepas, Trump melalui akaun di Truth Social mengumumkan AS akan mengenakan tarif pada kadar 100 peratus ke atas mana-mana produk farmaseutikal berjenama atau yang dipatenkan, melainkan syarikat berkenaan membina kemudahan pembuatan farmaseutikalnya di AS.

Bagaimanapun, AS masih belum membuat sebarang keputusan berhubung sektor semikonduktor.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan