SUKAN > BERITA

SOJC: YOUNG TIGERS TEWAS KEPADA GREAT BRITAIN 4-1

15/10/2025 09:23 PM

JOHOR BAHRU, 15 Okt (Bernama) -- Great Britain meneruskan rentak cemerlang apabila menundukkan Malaysia 4-1 dalam aksi Kejohanan Hoki Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor (SOJC) 2025 di Stadium Hoki Taman Daya di sini malam ini.

Pasukan pelawat bimbingan Jon Bleby itu mendahului seawal minit ke-10 menerusi Kaden Draysey hasil pukulan sudut penalti, sebelum Muhammad Adam Asyraf Mohd Johari menyamakan kedudukan untuk Malaysia pada minit ke-17 melalui jaringan padang.

Bagaimanapun, kelebihan tersebut tidak bertahan lama apabila Jonny Sturch-Hibbitt kembali meletakkan Great Britain di depan pada minit ke-19, diikuti jaringan Monty Neave pada minit ke-26.

Sturch-Hibbitt sekali lagi meledak gol pada minit ke-39 untuk memastikan kemenangan bergaya 4-1 buat pasukannya.

Ketua Jurulatih Nor Saiful Zaini Nasiruddin mengakui pasukannya bergelut mengekang corak permainan pantas Great Britain selain gagal memanfaatkan peluang yang dimiliki.

“Cara mereka mengawal bola lebih kemas daripada kita, sebab itu kita susah nak pintas. Mereka perangkap kita dengan gerakan pantas sebelum melakukan kawalan dalam kawasan D, dua gol mereka berpunca daripada itu.

“Kita juga ada peluang ketika kedudukan 1-1 dan 2-1, tetapi gagal menjaringkan gol. Itu antara kelemahan kita,  tidak dapat jaring gol bila ada peluang,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Beliau berkata walaupun keputusan 4-1 dilihat besar, ia tetap dianggap wajar memandangkan Great Britain memiliki kelebihan dari segi kematangan taktikal dan ketajaman penyudah.

“Saya rasa empat gol itu agak tinggi, sepatutnya dua atau tiga pun sudah mencukupi. Tapi mereka memang pasukan yang lebih baik. Ini satu pengajaran yang baik untuk pemain kita.

“Kita perlu belajar bagaimana hendak menyesuaikan diri dengan tempo pantas pasukan lawan, terutama ketika serangan balas dan kawalan pemain,” katanya.

Nor Saiful berkata perlawanan menentang Great Britain menjadi pengajaran berguna buat skuad Young Tigers untuk memperkemas rentak permainan sekali gus menampilkan aksi lebih cemerlang pada perlawanan akan datang.

Skuad Young Tigers dijadual menentang India pada Jumaat ini.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan