EKONOMI > BERITA

TNB AKAN PENUHI KEPERLUAN PUSAT DATA, TERIMA GUNA AI DAN FOKUS PEMBANGUNAN BAKAT

15/10/2025 11:11 AM

Oleh M. Saraswathi

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) - Tenaga Nasional Bhd (TNB) sedang mengukuhkan gridnya dengan penyelesaian kecerdasan buatan (AI) serta menumpu kepada pembangunan bakat untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat, terutamanya daripada aktiviti rancak pusat data di negara ini.

“Dengan lebih 70 permohonan pusat data diterima, mewakili lebih daripada 11,000 megawatt permintaan, dan 6,000 megawatt lagi dijangkakan menjelang 2030, terdapat keperluan besar untuk mempunyai grid yang lebih pintar dan berdaya tahan.

“Oleh itu, elektrik bukan sekadar utiliti, ia adalah asas bagi masa depan digital Malaysia,” kata Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Mahathir Noor Ismail.

Mahathir berkata TNB menggunakan instrumen AI seperti Sistem Pengurusan Pengedaran Lanjutan (ADMS), yang membolehkan analisis ramalan, keterlihatan rangkaian masa nyata, dan kawalan yang dipertingkatkan ke atas aliran tenaga dua arah, yang kesemuanya penting dalam menangani peningkatan kerumitan ekosistem tenaga Malaysia.

Berucap pada Sidang Kemuncak Global I-Nation 2025, beliau berkata menerusi hantaran di laman LinkedIn syarikat utiliti itu: “Bagi TNB, kejayaan bermakna membantu memperkasa kemajuan ekonomi Malaysia sambil mencipta manfaat yang berkekalan untuk rakyat.”

Beliau berkata ketika tenaga dan AI menjadi semakin saling berkait, TNB memanfaatkan sinergi ini untuk memacu operasi yang lebih bijak dan berdaya tahan merentasi rangkaian kuasa negara.

“Dengan tadbir urus kukuh yang memandu penggunaan AI, kami memastikan teknologi meningkatkan produktiviti, menyokong pertumbuhan mampan dan mengukuhkan daya saing ekonomi negara, sambil meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia,” katanya.

Mahathir menegaskan latihan transformasi sebenar bukan hanya terletak pada teknologi tetapi juga kepada pekerja.

Tumpuan TNB adalah untuk membangunkan bakat yang boleh menterjemahkan cabaran operasi menjadi satu tindakan yang boleh dilaksanakan yang disokong oleh AI.

“Matlamatnya bukan untuk bersaing dengan peneraju AI global, tetapi untuk menggunakan AI secara berkesan bagi meningkatkan penggunaan teknologi dalam perniagaan, membuat keputusan dan prestasi rangkaian.

"Etika kekal sebagai tonggak dalam proses penggunaan AI oleh TNB. Organisasi ini mengamalkan pendekatan tadbir urus yang mementingkan tenaga kerja, memastikan bahawa walaupun AI memberikan ramalan dan pandangan yang berharga, keputusan muktamad adalah berdasarkan pertimbangan manusia," katanya.

Sidang Kemuncak Global I-Nation 2025 dihoskan oleh Pemecut Penyelidikan Malaysia untuk Teknologi dan Inovasi (MRANTI) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Memasuki tahun keempatnya, I-Nation semakin berdiri teguh sebagai platform utama bagi Malaysia untuk mempercepatkan inovasi, pengkomersilan dan kerjasama global.

Setiap tahun, sidang kemuncak itu disertai ramai peserta berpengaruh untuk berkongsi pandangan, membincangkan cabaran dan menyegerakan tindakan.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan