KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Meta Platforms Inc (Meta) akan melancarkan Antara Muka Pengaturcaraan Aplikasi (API) ‘WhatsApp Marketing Messages (MM) Lite’ terbaharunya, yang menawarkan alat pengoptimuman dipertingkatkan dan ciri baharu untuk mendorong penglibatan yang lebih tinggi.
Pengurus Penyelesaian Pelanggan Meta Malaysia Jason Yim berkata API MM Lite terbaharu itu adalah peningkatan kepada API awan sedia ada yang direka khusus untuk mesej pemasaran.
“Pada asasnya, terdapat tiga faedah utama API MM Lite. Pertama, ia mempunyai kebolehhantaran yang lebih tinggi, kedua ialah ciri baharu yang eksklusif, dan ketiga ialah peralihan mudah daripada API awan ke API baharu ini,” katanya pada majlis pembentangan ketika sesi perniagaan WhatsApp di sini hari ini.
Beliau menambah bahawa salah satu fungsi baharu utama, yang dikenali sebagai ‘Time to Live’ (TTL), membolehkan perniagaan menetapkan tempoh sah mesej promosi, bagi memastikan pelanggan hanya menerima tawaran yang berkaitan.
“Bayangkan perniagaan menghantar tawaran yang sah selama satu hari, tetapi pelanggan telah mematikan telefon mereka, dan hanya menerimanya pada hari berikutnya, apabila ia tidak lagi relevan.
“Dengan TTL, anda boleh menetapkan tempoh tamat mesej. Jika ia tidak dihantar dalam tempoh 24 jam, ia tidak akan dihantar,” katanya.
Beliau berkata API MM Lite juga akan disepadukan dengan keupayaan AI daripada sistem pengiklanan Meta bagi membolehkan perniagaan menghantar mesej pemasaran yang lebih bersasar dan berkesan kepada pelanggan mereka.
Selain itu, perniagaan juga akan mendapat akses kepada penanda aras prestasi yang membandingkan kadar terbuka dan kadar klikan dengan rakan industri, berserta cadangan mengenai tindakan yang boleh diambil.
Beliau menambah bahawa API baharu itu menyokong pautan dalaman bagi aplikasi, perkongsian acara untuk pengoptimuman kempen, dan peralatan automasi kreatif seperti pencerahan imej, pemangkasan automatik dan animasi format pertukaran grafik (GIF) - ciri yang sedang dalam tempoh ujian tertutup.
Yim turut menggalakkan perniagaan dan agensi untuk menyepadukan mesej pemasaran WhatsApp ke dalam pengurus iklan Meta sebagai penempatan tambahan untuk menyasarkan semula kempen.
Katanya, keupayaan baharu itu membolehkan pemasar menjangkau khalayak dengan lebih berkesan sambil mengekalkan pengalaman perbualan yang diharapkan oleh pengguna di WhatsApp.
“Jangkaan ini jauh lebih tinggi pada WhatsApp kerana pelanggan sudah terbiasa menerima balasan dengan segera dan interaksi secara peribadi, dan itulah yang mendorong prestasi lebih baik,” katanya.
Sementara itu, menurut lawan sesawang Meta, WhatsApp API MM Lite dijangka dilancarkan pada suku keempat tahun ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial