EKONOMI > BERITA

NCER CAPAI PELABURAN RM53.39 BILION, CIPTA 16,000 PELUANG PEKERJAAN SETAKAT SEPTEMBER - ANWAR

15/10/2025 05:52 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) berjaya merealisasikan pelaburan mencecah RM58.39 bilion serta mencipta hampir 16,000 peluang pekerjaan bagi tempoh sehingga September tahun ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, bagi tempoh tersebut, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) turut memudahcarakan pelaburan berimpak tinggi.

“Selain itu NCIA turut memberi tumpuan dalam membangunkan industri semikonduktor berteknologi tinggi menerusi program APIRC@NTIC dan meneroka potensi projek pelancongan berimpak tinggi yang dipacu pelaburan swasta,” kata Anwar menerusi hantaran di laman platform X beliau, hari ini.

Perdana Menteri berkata pencapaian NCER itu dimaklumkan kepada beliau semasa mempengerusikan Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara Ke-34 pagi ini.

Menurut beliau, mesyuarat itu turut meneliti fokus strategik NCER di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) antara lain melibatkan industri semikonduktor berteknologi tinggi, pelancongan berimpak tinggi, Taman industri tematik NCER, Pembangunan Zon Khas Ekonomi Tenaga Boleh Baharu dan Zon Ekonomi Sempadan Malaysia-Thailand.

"Penting untuk dipastikan semua perancangan NCER selaras dengan matlamat yang dirancang dalam RMK13, Belanjawan 2026 serta dasar utama lain seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR)," kata Anwar. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan