KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Labuan IBFC Incorporated Sdn Bhd dan Persatuan Penasihat Syariah dalam Kewangan Islam Malaysia (ASAS) memeterai perkongsian strategik bagi memperkukuh kerjasama dalam memajukan landskap kewangan Islam.
Memorandum Persefahaman (MoU) berkenaan dimeterai semalam di Sasana Kijang di sini bersempena Forum Kewangan Islam Global (GIFF) 2025.
Labuan IBFC Inc berkata MoU bersejarah ini mencerminkan komitmen bersama kedua-dua institusi untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang utama seperti pembangunan perniagaan, pembangunan bakat, penyelidikan dan advokasi, seiring dengan permintaan global yang semakin meningkat terhadap penyelesaian kewangan Islam yang inovatif, beretika dan mampan.
Dalam kenyataan hari ini,katanya keutamaan penting melalui kerjasama ini termasuk memajukan penyelidikan dalam isu baharu, menambah baik tadbir urus syariah serta meningkatkan kesedaran pasaran melalui program bersama, penerbitan dan inisiatif jangkauan.
Ahli Lembaga Pengarah Labuan IBFC Inc Datuk Chin Chee Kee berkata pemeteraian MoU itu menandakan langkah penting bagi Labuan IBFC untuk terus mengukuhkan kedudukan sebagai bidang kuasa yang menjadi pusat kecemerlangan bagi perkhidmatan kewangan Islam.
"Asas kukuh ASAS dalam prinsip syariah, disepadukan dengan platform perniagaan global patuh syariah membentuk sinergi kuat yang meluaskan akses, mengukuhkan tadbir urus dan memupuk pertumbuhan yang mampan," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ASAS Makhtar Abdullah dalam kenyataan sama berkata kerjasama ini bukan sahaja memupuk kerjasama institusi malah memperkukuh ekosistem yang lebih luas dengan mewujudkan peluang kepada dialog penting, inovasi dan kemajuan kewangan Islam di Malaysia dan negara-negara lain.
Menurut kenyataan itu pakatan ini menyokong hasrat jangka panjang Malaysia untuk menjadi peneraju global dalam kewangan Islam serta mengukuhkan peranan Labuan IBFC sebagai bidang kuasa pelengkap dalam rangka kerja perkhidmatan kewangan negara.
Katanya kerjasama ini dijangka menjadi pemangkin kepada inisiatif berimpak tinggi yang menggabungkan pandangan mengenai kawal selia, tadbir urus syariah yang kukuh dan penglibatan pasaran strategik dalam memupuk ekosistem kewangan Islam yang lebih berdaya tahan, inklusif dan berhubung di peringkat global.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial