KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Menteri-Menteri bertanggungjawab dalam hal ehwal tenaga dari Laos, Thailand, Malaysia dan Singapura hari ini mengulangi komitmen mereka untuk terus meningkatkan perdagangan tenaga rentas sempadan secara pelbagai hala dalam ASEAN, susulan kejayaan Projek Integrasi Tenaga Laos-Thailand-Malaysia-Singapura (LTMS-PIP).
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas mesyuarat empat pihak di sini hari ini, kesemua menteri turut berikrar untuk mempercepat pembangunan Rangkaian Kuasa ASEAN (APG) iaitu inisiatif serantau yang bermatlamat memperkukuh kerjasama dan integrasi tenaga dalam kalangan negara anggota ASEAN.
Dalam kenyataan bersama keenam sejak November 2020 itu, para menteri berkata rangkaian yang diperluas itu bukan sahaja akan meningkatkan keselamatan tenaga dan kestabilan grid di seluruh ASEAN, malah membuka peluang baharu untuk pelaburan tenaga boleh diperbaharui dan pertukaran tenaga rentas sempadan.
“Kami sekali lagi mengulangi komitmen untuk membangunkan APG demi manfaat bersama rantau ini serta memudahkan perbincangan mengenai pembangunan dan pelaksanaan penyambungan elektrik rentas sempadan serta kabel dasar laut, yang akan menjadi tulang belakang kepada APG,” menurut kenyataan itu.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air mewakili Malaysia pada mesyuarat berkenaan yang diadakan di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43 (AMEM-43) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Perindustrian dan Perdagangan Laos Chanthaboun Souk-aloun, Setiausaha Tetap Tenaga Thailand Dr Prasert Sinsukprasert dan Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi Singapura Dr Tan See Leng.
Menurut kenyataan itu, APG akan membolehkan negara anggota ASEAN mengoptimumkan sumber tenaga masing-masing melalui sambungan rentas sempadan yang dipertingkatkan, sekali gus memastikan bekalan tenaga yang stabil dan lestari serta menyokong peralihan ke arah sumber tenaga yang lebih bersih.
Kesemua menteri turut memuji usaha berterusan Kumpulan Kerja LTMS-PIP, pasukan petugas serta semua pihak berkepentingan yang terlibat atas komitmen mereka dalam memantau aspek teknikal, komersial, perundangan dan kawal selia projek berkenaan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar dan berkesan.
“Kami mengiktiraf manfaat bersama daripada perdagangan tenaga rentas sempadan kepada semua pihak, dengan mempercepat peralihan tenaga ASEAN melalui pelaburan dalam projek tenaga boleh diperbaharui, membuka potensi besar tenaga boleh diperbaharui di rantau ini serta memperkukuh keselamatan tenaga dan daya tahan grid setiap negara. LTMS-PIP terus memainkan peranan penting dalam merealisasikan visi APG.
“Kami juga mengambil peluang sokongan daripada menteri-menteri tenaga ASEAN terhadap LTMS-PIP sebagai inisiatif perintis yang melengkapkan usaha sedia ada untuk mencapai visi APG dan Komuniti Ekonomi ASEAN iaitu dengan membuka peluang perdagangan elektrik secara pelbagai hala bagi mengukuhkan daya tahan grid serta memajukan integrasi tenaga serantau,” menurut kenyataan itu.
Dalam kenyataan bersama sebelum ini, menteri-menteri turut menzahirkan rasa puas hati atas kejayaan pelaksanaan LTMS-PIP yang bermula pada 23 Jun 2022, yang membolehkan perdagangan elektrik rentas sempadan secara pelbagai hala hingga 100 megawatt (MW) dari Laos ke Singapura melalui Thailand dan Malaysia menggunakan sambungan yang telah wujud, iaitu satu pencapaian bersejarah bagi ASEAN.
Mereka turut mengambil perhatian terhadap kejayaan aliran kuasa pelbagai hala pertama dari Malaysia ke Singapura yang dilaksanakan di bawah kerangka LTMS-PIP dan diketengahkan dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-42 (AMEM) pada 26 Sept 2024, sekali gus mengulangi peranan penting projek berkenaan dalam memperkukuh visi APG.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial