KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Taiwan dan Malaysia memperkukuh kerjasama dalam bidang teknologi dan inovasi melalui Cabaran Pemula Niaga 2025, menyaksikan empat syarikat pemula niaga Taiwan yang cemerlang mara ke peringkat akhir Kategori Bandar anjuran Pentadbiran Pemula Niaga dan Perusahaan Kecil dan Sederhana Taiwan (SMESA).
Dalam satu kenyataan hari ini, SMESA berkata inisiatif Cabaran Pemula Niaga itu mempromosikan inovasi teknologi yang meningkatkan kesejahteraan sosial dan kemampanan, di samping membantu syarikat pemula niaga Taiwan untuk bersepadu dengan ekosistem teknologi dinamik Selangor serta meneroka peluang perniagaan rentas sempadan.
Dengan melalui tiga peringkat pemilihan — saringan awal, separuh akhir dan akhir — empat pasukan terbaik tiba di Selangor pada pertengahan Ogos untuk memasang sistem mereka, menguji penyelesaian dan mengumpul data bagi mengesahkan prestasi sebelum membentangkan hasil mereka pada sesi akhir pembentangan idea pada 15 Oktober.
“Cabaran ini menampilkan dua tema yang dicadangkan oleh Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC), iaitu Sistem Kawalan Perpustakaan untuk Perpustakaan Awam Raja Tun Uda dan Pusat Data Rendah Karbon di Taman Reka Bentuk IC Semikonduktor Malaysia,” katanya.
Projek-projek ini bertujuan mewujudkan kemudahan awam yang lebih pintar dan hijau serta infrastruktur data yang lebih mampan, sekali gus mengukuhkan peranan Selangor sebagai hab inovasi serantau terkemuka dan keputusan akhir akan diumumkan di Taiwan bulan depan.
Pengarah Bahagian Ekonomi Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Malaysia James Chang berkata Taiwan dan Malaysia telah sekian lama mengekalkan hubungan ekonomi yang kukuh.
“Tahun lepas, Taiwan mengatasi Jepun untuk menjadi rakan dagang keempat terbesar Malaysia dan perdagangan tahun ini dijangka mencatat prestasi yang lebih baik dengan peningkatan sebanyak 36 peratus dari Januari hingga Ogos,” katanya.
Chang turut menyatakan penghargaan di atas sokongan berterusan SIDEC terhadap perniagaan Taiwan, sambil menyifatkan Cabaran Pemula Niaga sebagai “platform yang bermakna untuk memperdalam kerjasama dan menarik lebih banyak pelaburan ke Selangor”.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi SIDEC Loo Chuan Boon berkata perbadanan itu berbesar hati dapat bekerjasama dengan Persatuan Komputer Taiwan (TCA) untuk tahun kedua berturut-turut.
“Inisiatif seperti mempertingkat pengalaman di perpustakaan awam dan menangani aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk pusat data mencerminkan visi bersama bagi membangunkan ekosistem teknologi yang lebih dinamik dan mampan,” katanya.
Bagi kategori Transformasi Perpustakaan Pintar Hijau, Gotspeed IT Service telah membangunkan sistem bersepadu yang membolehkan kakitangan mengakses terminal perpustakaan melalui aplikasi telefon pintar dan bukannya daripada peranti tetap, sekali gus mengurangkan penggunaan tenaga, pelaburan modal dan keperluan penyelenggaraan.
Sementara itu, Skyverge Innovations telah membangunkan sistem penjejakan aset RFID tanpa kertas bagi memudahkan proses pinjaman dan pemulangan buku. Sistem ini juga membolehkan pengguna mencari buku dengan lebih efisien, manakala terminalnya yang menjimatkan tenaga boleh disesuaikan dalam pelbagai reka bentuk, termasuk bentuk haiwan untuk menarik minat kanak-kanak.
Bagi kategori Pusat Data Rendah Karbon, Meta Intelligence Ltd mempamerkan teknologi simulasi dinamik bendalir pengiraan (computational fluid dynamics) untuk mengoptimumkan aliran udara dalam pelayan data dengan mencipta model digital pusat data yang membolehkan sistem memetakan dan melaras aliran udara berdasarkan beban dan penggunaan puncak, sekali gus mengurangkan penggunaan tenaga antara 20 hingga 30 peratus.
Satu lagi finalis dalam kategori itu, Chimes AI menggunakan kepakarannya dalam analitik data pembuatan untuk mereka bentuk model pembelajaran mesin yang mampu mengesan keabnormalan dan menentukan parameter operasi optimum yang dapat meningkatkan kecekapan dengan ketara serta mengurangkan jejak karbon untuk operasi pusat data.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial