EKONOMI > BERITA

IGEM 2025 DAN KLSS PERKUKUH KEDUDUKAN MALAYSIA UNTUK TERAJUI AGENDA HIJAU ASEAN

17/10/2025 11:51 AM

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Malaysia sedang memperkukuh aspirasi dalam iklim kolektif ASEAN dengan meletakkan kelestarian dan tindakan iklim sebagai teras agenda serantaunya sebagai pengerusi ASEAN pada 2025.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata kepimpinan Malaysia melalui Sidang Kemuncak Kelestarian Kuala Lumpur (KLSS) dan Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eco Malaysia (IGEM) mencerminkan komitmen negara untuk memacu perubahan di rantau ini.

"Menerusi KLSS, Malaysia telah mengukuhkan wacana iklim ASEAN, menjajarkan rantau kita di sekitar tiga keutamaan utama - penyesuaian, mitigasi dan daya tahan. Sementara itu, melalui IGEM, kami bergerak dari dasar ke peluang, mengubah perbincangan kepada perkongsian, seterusnya perkongsian kepada projek.

“IGEM mempamerkan teknologi yang akan membentuk industri generasi akan datang, daripada tenaga bersih dan mobiliti mampan kepada pengurangan sisa, pengurusan karbon dan penyelesaian berasaskan alam semula jadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Johari yang juga Pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar berkata IGEM berperanan sebagai platform untuk kemasukan, dan ia tidak terhad kepada syarikat besar tetapi juga bertindak sebagai landasan untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) yang merupakan tulang belakang ekonomi Malaysia dan pusat kepada transformasi hijaunya.

Kerajaan sedang memuktamadkan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan untuk menentukan pendekatan Malaysia terhadap perdagangan karbon dan membimbing penggunaan harga karbon untuk memacu pelaburan, inovasi dan pertumbuhan rendah karbon, katanya.

Beliau berkata dasar itu akan menggalakkan projek kredit karbon dalam perhutanan, tenaga boleh baharu dan penyelesaian berasaskan alam semula jadi yang akan mewujudkan peluang pendapatan baharu untuk kerajaan negeri, masyarakat tempatan dan pelabur swasta.

Johari memberitahu Rang Undang-undang pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) yang diluluskan awal tahun ini meletakkan Malaysia sebagai hab serantau untuk pengurusan karbon, sektor yang boleh menjana sehingga AS$250 bilion (AS$1 = RM4.23) potensi nilai ekonomi dalam tempoh tiga dekad akan datang.

Sementara itu, beliau berkata Malaysia telah memuktamadkan Sumbangan Ditentukan Negara ketiganya (NDC 3.0) di bawah Perjanjian Paris, menekankan komitmen kukuh negara untuk mempercepatkan peralihan rendah karbonnya.

"Bersama-sama, inisiatif ini menunjukkan bahawa peralihan hijau Malaysia adalah tersusun, strategik dan mapan. Ia adalah misi nasional jangka panjang dibina atas dasar kukuh, undang-undang yang jelas dan peluang ekonomi berkekalan," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan