PUTRAJAYA, 17 Okt (Bernama) -- National Bioeconomy Showcase (NBiOSHOWCASE) 2025 menyasarkan lebih RM200 juta pelaburan dan urus niaga menerusi penganjuran Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak 2025 (IDECS25) di Pusat Konvensyen Borneo, Kuching, Sarawak pada 22 dan 23 Okt ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak berkata penganjuran NBiOSHOWCASE di IDECS25 bertujuan menonjolkan peranan Sarawak sebagai hab serantau dalam inovasi mampan dan teknologi hijau yang bakal memacu ekonomi digital masa depan.
“Kami terinspirasi dengan komitmen kuat Sarawak dalam menjadi peneraju global dalam ekonomi hijau, sambil memanfaatkan teknologi digital bagi mempercepat transformasi ekonominya.
“Dengan kepakaran Bioeconomy Corporation dalam pengkomersialan berasaskan bio dan pembangunan ekosistem mampan, kami yakin untuk menyokong dan merealisasikan aspirasi Sarawak ke tahap yang lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
NBiOSHOWCASE yang dianjurkan julung kalinya di Kuching, merupakan sidang kemuncak utama bagi industri bioteknologi dan berasaskan bio di Malaysia.
Ia bakal mengetengahkan pelbagai inisiatif berasaskan bio unik di Sarawak yang fokus kepada pertumbuhan mampan, membuka peluang pasaran baharu, dan memperkasakan komuniti setempat.
Dengan sasaran kehadiran lebih 10,000 peserta yang terdiri daripada pemain industri, penyelidik, agensi kerajaan serta orang awam, NBiOSHOWCASE merupakan platform dinamik untuk memperluas jaringan dan kerjasama.
Selain pameran dan sesi perkongsian ilmu, ia turut disertai sesi pertukaran memorandum persefahaman (MOU) bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang kelestarian, pembangunan bakat, keusahawanan dan pengkomersialan penyelidikan (R&D).
IDECS25 dihoskan oleh Kerajaan Sarawak dan dianjurkan bersama Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC), Sarawak Multimedia Authority (SMA) dan Sarawak Information Systems (SAINS).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial