EKONOMI > BERITA

MOU BUSINESS SWEDEN, MSIA AKAN PERKUKUH KERJASAMA INDUSTRI SEMIKONDUKTOR

17/10/2025 03:59 PM

GEORGE TOWN, 17 Okt (Bernama) -- Business Sweden Malaysia dan Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) akan bekerjasama pada peringkat antarabangsa dalam industri semikonduktor untuk mempercepatkan inovasi, kemampanan serta ketahanan rantaian bekalan antara kedua-dua negara, berikutan penandatanganan satu Memorandum Persefahaman (MoU). 

Business Sweden berkata perjanjian mercu tanda ini menandakan peristiwa penting dalam mengukuhkan kerjasama dua hala antara Sweden dan Malaysia, dua ekonomi yang didorong oleh inovasi bagi membentuk masa depan landskap semikonduktor global. 

Pesuruhjaya Perdagangan Sweden ke Malaysia, Ludvig Hermansson berkata dengan memperdalam kerjasama dalam sektor semikonduktor, kedua-dua negara meletakkan asas untuk inovasi masa depan, daya tahan dan pertumbuhan mampan. 

"Malaysia boleh memanfaatkan pengetahuan Sweden dalam kemampanan dan pembuatan termaju untuk meningkatkan ekosistem teknologi semikonduktornya dan mewujudkan sinergi yang akan memacu kemajuan dalam salah satu industri paling kritikal di dunia," katanya. 

MoU itu menggariskan rangka kerja untuk aktiviti bersama termasuk inisiatif yang menyokong perkongsian yang lebih dekat dalam penyelidikan semikonduktor, pembangunan, inovasi, pembuatan, reka bentuk dan kelayakan profesional.

Kerjasama ini akan memberi tumpuan kepada tiga bidang utama iaitu pembangunan ekosistem, daya tahan rantaian bekalan serta inovasi dan pertukaran teknologi yang didorong oleh perniagaan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif MSIA Andrew Chan berkata kerjasama itu akan membuka jalan bagi peluang baharu dalam teknologi canggih, kemampanan dan pembangunan bakat untuk memacu fasa seterusnya pertumbuhan semikonduktor global.

Perkongsian itu dibangunkan berdasar kepada Strategi Semikonduktor Kebangsaan Malaysia di bawah Pelan Induk Industri Baharu 2030 yang akan menyaksikan negara ini menjadi hab global untuk teknologi semikonduktor termaju, manakala kekuatan Sweden dalam Industri 4.0, pembuatan lestari dan pendigitalan akan memberikan sokongan kepada Malaysia dalam menuju ke arah aktiviti bernilai tinggi dan daya saing jangka panjang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan