EKONOMI > BERITA

MALAYSIA PERLU BINA KREDIBILITI UNTUK JADI HAB PELABURAN TENAGA HIJAU ASEAN -- UEM LESTRA

17/10/2025 07:09 PM

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Malaysia perlu memberi tumpuan kepada pembinaan kredibiliti, kebolehskalaan dan kebolehpercayaan untuk menjadi hab pelaburan tenaga hijau ASEAN, kata UEM Lestra Bhd.

Ketua Pembangunan Perniagaannya, Noor Hafifi Jalal berkata ketika ini syarikat itu memberi tumpuan kepada pasaran tenaga boleh baharu (TBB) bernilai tinggi, yang boleh memberi keyakinan kepada pelabur, pembeli dan pembiaya bahawa projek tersebut boleh diterima pihak bank, boleh dikesan dan bersedia untuk masa depan.

Bagaimanapun, katanya, kelebihan Malaysia terletak pada keupayaannya untuk menghubungkan tiga tonggak ekologi.

“Pertama ialah infrastruktur boleh dibankkan, projek sedia grid seperti projek Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETP) kami di Johor, yang akan menetapkan piawaian baharu dalam kesediaaan teknikal dan kebolehpercayaan jangka panjang. 

“Kedua ialah pasaran yang telus, yang kami laksanakan dengan kerjasama Bursa Malaysia bagi membolehkan kami mewujudkan pasaran itu.

“Dan akhir sekali dan sangat penting ialah kepastian dasar, iaitu rangka kerja stabil yang memberi keyakinan kepada pelabur untuk melabur berbilion-bilion selama beberapa dekad, bukan hanya bertahun-tahun,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam sesi pleno bertajuk ‘Malaysia sebagai Hab Pelaburan Hijau dan Penyahkarbonan ASEAN’ pada hari kedua Forum Perniagaan Tenaga ASEAN 2025 (AEBF-25) di sini hari ini.

“Jika kita berjaya melaksanakannya, saya fikir Malaysia boleh memimpin rantau ini bukan sahaja dalam penjanaan tenaga hijau, tetapi juga dalam kredibiliti hijau,” tambahnya. 

Sementara itu, seorang lagi panel, Ketua Serantau bagi Perbankan Pelaburan Projek Pembiayaan dan Penasihat Maybank Securities Lau Mun Loong berkata negara amat sesuai bagi pembiayaan projek tenaga hijau.

Katanya, pasaran bon Malaysia berkembang dengan baik, apabila syarikat boleh menerbitkan bon untuk projek bahan api hijau, tetapi di kebanyakan negara lain hanya boleh bergantung kepada pinjaman bank untuk membiayai projek itu. 

“Kita juga mempunyai pasaran yang sangat rancak, yang bersedia untuk menawarkan pembiayaan kadar tetap pada tarikh yang panjang bagi projek boleh dibankkan dan kata kunci di sini ialah ‘boleh dibankkan’.

“Saya fikir (kami) sangat bertuah. Kami telah melihat kebanyakan projek di Malaysia dibiayai dengan jayanya,” kata Lau. 

Bertemakan ‘Powering ASEAN, Bridging Boundaries and Building Prosperity’,  AEBF-25 menghimpunkan penggubal dasar, pemimpin perniagaan, pemilik perniagaan, pelabur, penyelidik dan perintis bidang tenaga untuk membentuk masa depan landskap tenaga ASEAN. 

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan