EKONOMI > BERITA

SHB BUKA FASILITI PEMBUATAN LUAR NEGARA PERTAMA DI JOHOR BERNILAI RM600 JUTA

18/10/2025 12:26 PM

JOHOR BAHRU, 17 Okt (Bernama) – Pengeluar motor elektrik automotif SHB hari ini telah membuka fasiliti pembuatan luar negara pertama di Zon Bebas Senai Airport City (SAC), dengan pelaburan sebanyak RM600 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif SHB Carolyn Wang berkata fasiliti itu dijangka akan mencapai kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak tiga juta sistem motor elektrik penggilap dan 20 juta motor elektrik tempat duduk, menjana kira-kira RM1.5 bilion dalam jualan tahunan. 

Tapak tersebut dilengkapi dengan kemudahan ujian termaju serta barisan pemasangan automatik, menyokong pengeluaran untuk pengeluar peralatan asal global utama dan pelanggan peringkat satu seperti Tesla dan BMW.

"Menjelang 2030, SHB berhasrat untuk menggandakan jualannya kepada RM6 bilion, dengan kemudahan Malaysia di SAC berkhidmat sebagai asas utama pertumbuhan ini," katanya melalui satu kenyataan. 

Pelaburan itu akan mewujudkan kira-kira 200 pekerjaan kejuruteraan mahir tempatan selain penyumberan daripada 100 pembekal tempatan, memperkukuhkan komitmen SHB bagi menyokong rantaian bekalan pembuatan Malaysia dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Johor. 

"Malaysia memainkan peranan strategik dalam pelan hala tuju pertumbuhan global SHB. Dengan memanfaatkan ekosistem serta bakat perindustrian yang kukuh di negara ini, kami yakin mampu memberikan kualiti bertaraf dunia dan memacu pertumbuhan jangka panjang di rantau ini," kata Wang.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata Malaysia mempunyai peluang yang baik untuk bekerjasama dalam penyebaran teknologi. 

"Dahulu, kami melihat diri kami sebagai negara perdagangan tetapi hari ini kami mahu dilihat sebagai negara teknologi. Kami mempunyai sektor teknologi peralatan automatik dan kami ingin melihat penyebaran teknologi serta sambungan bersifat horizon dalam ekosistem kami,"  katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif SAC, Gan Seng Keong berkata zon itu merupakan pusat utama bagi pembuatan termaju dan pelaburan bernilai tinggi yang terletak di dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

"Keputusan SHB untuk menubuhkan fasiliti luar negara yang pertama di SAC adalah pengiktirafan terhadap apa yang ditawarkan SAC iaitu ekosistem pembuatan termaju dan pangkalan perindustrian yang boleh disesuaikan dengan masa hadapan dalam hab perdagangan global strategik yang terhubung, " katanya.

SHB, yang juga dikenali sebagai SHB Automotive Appliances, adalah pengeluar global dalam motor elektrik automotif dan komponen elektronik, yang mengkhususkan diri dalam motor tempat duduk, sistem penggilap serta kawalan tingkap. Syarikat tersebut berpangkalan di China.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan