EKONOMI > BERITA

TADBIR URUS KUKUH, DISIPLIN FISKAL KUNCI KEKALKAN TRANSFORMASI EKONOMI MALAYSIA - PM ANWAR

21/10/2025 02:33 PM

 

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) - Tadbir urus yang kukuh, disiplin fiskal dan pendidikan adalah perkara yang perlu diberi penekanan dalam transformasi ekonomi Malaysia bagi mengukuhkan pertumbuhan dan mengurangkan ketidaksamaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengimbau prestasi kerajaan pada tahun pertamanya, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pentadbiran terpaksa berhadapan dengan cabaran fiskal yang berakar umbi, termasuk hutang negara yang tinggi dan ketidakcekapan sistemik, sambil memulakan pembaharuan dasar yang menyeluruh.

“Kita bergelut pada tahun pertama kerana kita mewarisi hutang yang besar.

“Orang ramai perlu memahami bahawa kita perlu memulakan dasar baharu dan menyusun semula ekonomi,” kata beliau dalam ucaptama di Forum Pengetahuan Permodalan Nasional Bhd (PNB) 2025 di sini, hari ini.

Anwar berkata, walaupun Malaysia terus menggerakkan transformasi digital dan penggunaan kecerdasan buatan (AI), kerajaan tetap komited untuk memastikan keterangkuman dan menangani ketaksamaan struktur dalam pendidikan dan ketersambungan.

“Anda memperkatakan tentang AI dan digital, tetapi kita masih perlu mendidik orang ramai. Celik MADANI adalah salah satu inisiatif kerajaan untuk meningkatkan kesedaran tentang celik kewangan, pelaburan dan simpanan.

"Masih terdapat jurang antara mereka yang mempunyai akses penuh kepada ketersambungan dan mereka yang berada di kawasan luar bandar atau miskin bandar. Kita tidak boleh bertoleransi dengan ketidakseimbangan ini," kata Perdana Menteri.

Anwar menegaskan kemajuan sebenar perlu disandarkan kepada tadbir urus yang baik, kebenaran, keadilan dan belas kasihan, dengan menyatakan bahawa pertumbuhan ekonomi tidak boleh menjejaskan kesaksamaan dan integriti sosial.

Beliau berkata menerusi penguatkuasaan fiskal baru-baru ini kerajaan berjaya memperoleh semula RM15.5 bilion melalui tindakan lebih tegas terhadap rasuah, penyeludupan dan ketirisan kewangan.

“Hasil tindakan penguatkuasaan yang berkesan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, polis dan agensi cukai, kita berjaya mendapatkan semula berbilion-bilion yang sebelum ini hilang akibat ketirisan dan pencatutan. 

"Persoalan sebenarnya adalah, bagaimana kita boleh menerima perkara ini selama berdekad-dekad," kata beliau.

Anwar berkata fasa pembaharuan ekonomi kerajaan yang seterusnya akan terus mengutamakan kepada tadbir urus, akauntabiliti dan pembangunan yang saksama bagi memastikan transformasi Malaysia kekal mampan dan inklusif.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan