EKONOMI > BERITA

INFLASI MALAYSIA MENINGKAT 1.5 PERATUS PADA SEPTEMBER 2025 - DOSM

22/10/2025 02:10 PM

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Inflasi Malaysia meningkat 1.5 peratus pada September 2025 dengan mata indeks mencatatkan 135.2 berbanding 133.2 pada tempoh sama tahun sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam kenyataan Indeks Harga Pengguna (IHP) September 2025 hari ini, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kenaikan itu disumbangkan oleh peningkatan kumpulan penjagaan diri, perlindungan sosial & pelbagai barangan dan perkhidmatan pada 4.8 peratus berbanding Ogos 2025 (4.0 peratus).

“Ini diikuti oleh makanan dan minuman pada 2.1 peratus (Ogos 2025 : 2.0 peratus); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain 1.5 peratus (Ogos 2025: 1.2 peratus); kesihatan 1.3 peratus (Ogos 2025: 1.1 peratus) dan pengangkutan 0.7 peratus (Ogos 2025: 0.2 peratus)

“Selain itu, restoran dan perkhidmatan penginapan, 3.3 peratus (Ogos 2025: 3.5 peratus) dan minuman alkohol & tembakau 0.3 peratus (Ogos 2025: 0.4 peratus) mencatatkan peningkatan lebih perlahan berbanding bulan sebelumnya,” katanya.

Mohd Uzir berkata sebanyak 59.9 peratus item (343 daripada 573) mencatat kenaikan harga.

Bagaimanapun, daripada jumlah itu sebanyak 333 item atau 97.1 peratus mencatat peningkatan yang kurang atau sama dengan 10 peratus manakala hanya 10 item merekodkan kenaikan melebihi 10 peratus pada September 2025.

“Baki sebanyak 181 item (31.6 peratus) menunjukkan penurunan manakala 49 item kekal tidak berubah,” katanya.

Mohd Uzir berkata purata harga petrol tanpa plumbum RON97 pada September 2025 ialah RM3.19 seliter berbanding RM3.15 seliter pada Ogos 2025 (September 2024: RM3.28).

“Purata harga diesel di Semenanjung Malaysia adalah RM2.91 seliter berbanding RM2.90 seliter pada Ogos 2025 (September 2024: RM3.04) manakala purata harga diesel bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan kekal pada RM2.15 seliter,” katanya. 

Menyentuh inflasi di peringkat negeri, sebanyak lima negeri mencatat peningkatan melebihi paras nasional (1.5 peratus) iaitu Johor (2.0 peratus), Negeri Sembilan (1.9 peratus), Melaka (1.8 peratus), Selangor (1.8 peratus) dan Terengganu (1.7 peratus).

“Baki sebanyak 11 negeri meningkat di bawah paras inflasi nasional dengan Kelantan mencatat inflasi terendah iaitu 0.5 peratus pada September 2025.

“Berbanding negara-negara terpilih, inflasi di Malaysia (1.5 peratus) adalah lebih rendah berbanding inflasi di Vietnam (3.4 peratus), Indonesia (2.7 peratus) dan Republik Korea (2.1 peratus),” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Uzir berkata kadar berkenaan adalah lebih tinggi berbanding Thailand (-0.7 peratus) dan China (-0.3 peratus).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan