EKONOMI > BERITA

PELABUHAN TANJUNG PELEPAS TERBIT SUKUK HIJAU PERTAMA BERNILAI RM500 JUTA

22/10/2025 05:54 PM

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) berjaya menerbitkan sukuk hijau pertamanya, sebagai usaha untuk mengukuhkan pelaburan dalam pembangunan pelabuhan yang lebih mampan

PTP, syarikat usaha sama Kumpulan MMC yang berpangkalan di Malaysia dan APM Terminals dari Belanda itu berkata terbitan bernilai RM500 juta yang dibahagikan sama rata merentasi tiga dan lima tahun tersebut memperkukuh komitmennya terhadap pertumbuhan yang bertanggungjawab dan pengawasan kelestarian alam sekitar.

Pengerusinya Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata hasil daripada sukuk hijau ini akan digunakan untuk membiayai pengembangan kapasiti PTP, membolehkan pelabuhan itu terus memenuhi keperluan pelanggan yang kian meningkat merentasi kargo eksport, import, dan perkapalan transit.

"Ini merupakan sebahagian daripada rancangan pelaburan yang lebih besar dengan matlamat bagi meningkatkan kapasiti pengendalian terminal sehingga 15.9 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) dalam masa beberapa tahun lagi, sekali gus menyokong aspirasi maritim negara Malaysia," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mark Hardiman berkata penerbitan sukuk hijau itu telah berjaya menarik permintaan pasaran yang luar biasa, sehingga mencatatkan lebihan langganan yang ketara. 

“Permintaan daripada pelabur ini memberi kami keyakinan untuk membuat penerbitan selanjutnya pada masa hadapan demi menyokong rancangan pertumbuhan jangka panjang kami.

“Ini turut menggambarkan keyakinan pelabur terhadap kemampuan kami dalam memberikan operasi terbaik sambil memacu kemajuan yang mampan,” katanya.

PTP baru-baru ini diiktiraf oleh Alphaliner sebagai pelabuhan paling pesat berkembang di dunia, dengan pertumbuhan sebanyak 15.4 peratus pada separuh pertama 2025, yang merupakan pertumbuhan tertinggi dalam kalangan 30 pelabuhan utama global dalam rangking firma penyelidikan itu.

Pelabuhan itu turut mencapai kejayaan operasi yang luar biasa sepanjang beberapa bulan kebelakangan ini, dengan merekodkan kendalian kontena 1.2 juta TEU dalam tempoh sebulan antara April dan Jun 2025 tanpa masalah kesesakan, serta mencapai lebih daripada 15,000 pergerakan dalam satu syif bersamaan 12 jam.

Pencapaian itu membuktikan keupayaan terminal yang efisyen serta kecemerlangan operasi, mencerminkan ketepatan, disiplin, dan penyelarasan yang terus memacu kejayaan berterusan PTP.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan