EKONOMI > BERITA

IOI CORP RAIH ANUGERAH 'BEST OF THE BEST' DI ANUGERAH ESG 2025

22/10/2025 09:13 PM

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- IOI Corporation Bhd merangkul anugerah ‘Best of the Best’ (Terbaik Dalam Kalangan Yang Terbaik) pada Anugerah ESG The Edge Malaysia 2025 yang diadakan pada 1 Oktober lepas.

Menurutnya anugerah baharu yang diperkenalkan itu mengiktiraf komitmen dan pencapaian luar biasa IOI Corp dalam amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), yang menjadi kemenangan kali keempat berturut-turut dalam anugerah itu selepas meraih tiga Anugerah Emas dalam sektor perladangan sejak 2022 hingga 2024.

IOI Corp dalam kenyataan hari ini berkata syarikat telah berjaya melepasi sasaran pengurangan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) setahun lebih awal berbanding jadual asal.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan kumpulan Datuk Lee Yeow Chor berkata sasaran asal adalah untuk mencapai pengurangan sebanyak 40 peratus dalam pelepasan GHG Skop 1 dan 2 yang diukur berdasarkan intensiti karbon 2015, menjelang 2025.

“Menjelang akhir tahun kewangan 2025, kami telah mencapai pengurangan sebanyak 46 peratus,” katanya dalam kenyataan sama.

Beliau berkata pencapaian penting ini menunjukkan bagaimana pendekatan penyahkarbonan yang mendalam diterapkan dalam strategi perniagaan syarikat, yang dicapai melalui inisiatif seperti penambahbaikan kemudahan pemerangkapan metana dan pemasangan panel solar.

Katanya inisiatif lain adalah pengoptimuman kecekapan tenaga dan sumber serta melaksanakan penyelesaian berasaskan alam semula jadi dan kejuruteraan.

Sementara itu, IOI Corp berkata syarikat turut diberikan penghormatan atas kecemerlangan dalam pembangunan sumber manusia di Anugerah Kecemerlangan HR 2025 pada 10 Oktober lepas.

Syarikat itu menerima Anugerah Emas bagi Kecemerlangan Strategi Perancangan Bakat Dalaman dan Anugerah Perak bagi Kecemerlangan Budaya di Tempat Kerja, mencerminkan komitmennya untuk memperkasakan pekerja dan memupuk persekitaran tempat kerja yang positif dan inklusif.

“Pencapaian ini mengukuhkan pendekatan holistik syarikat terhadap kemampanan dan pembangunan sumber manusia, seiring dengan usaha berterusan untuk memacu perubahan bermakna dan mencipta nilai jangka panjang kepada pihak berkepentingan,” katanya.

Pihak yang berminat boleh melayari laman web https://www.ioigroup.com. untuk maklumat lanjut mengenai IOI Corp dan inisiatifnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan