KUCHING, 23 Okt (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) memperkukuh usaha untuk mempercepat penerimagunaan teknologi dan pembiayaan inovasi bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pemula niaga di Sarawak melalui program Road2Growth (R2G) Sarawak 2025.
MTDC dalam satu kenyataan hari ini berkata inisiatif R2G bertujuan menghubungkan syarikat Sarawak dengan pengupaya inovasi nasional dan rakan industri, sambil menyediakan akses kepada pembiayaan pembangunan dan komersial, khidmat nasihat, pembangunan bakat dan pengupayaan Industri 4.0 melalui Centre of 9 Pillars (Co9P) atau Pusat 9 Tonggak.
R2G edisi Sarawak yang diadakan bersempena dengan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2025, bertemakan “AI dan Evolusi Hijau: Pertumbuhan, Cabaran dan Daya Tahan Komuniti,” menumpukan kepada penerimagunaan teknologi praktikal dan peluang kerjasama bagi PKS.
MTDC berkata siri R2G diadakan untuk memudahkan akses kepada teknologi dan pembiayaan dengan menjadikan dasar inovasi nasional sebagai garis panduan strategik yang menggariskan apa yang perlu diterima guna, bila, dengan siapa, dan cara membiayainya.
“Pendekatan ini sejajar dengan mandat MTDC untuk mengembangkan jejak inovasi Malaysia melangkaui Lembah Klang, termasuk Sabah dan Sarawak, sambil menyokong usaha negeri untuk meningkatkan kapasiti dan daya saing melalui teknologi dan inovasi perindustrian,” katanya.
Program itu juga menampilkan dialog pakar dengan rakan ekosistem mengenai perkongsian, akses modal dan sokongan program bersasar untuk mempercepatkan pembangunan diterajui inovasi Sarawak.
Sesi praktikal oleh syarikat ekosistem MTDC mempamerkan bagaimana automasi dan teknologi dipacu data meningkatkan kecekapan dan kemampanan operasi apabila digandingkan dengan rangka kerja panduan dan pembiayaan yang tepat.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MTDC Mohammad Hazani Hassan berkata program R2G Sarawak bertujuan untuk memudahkan proses daripada minat kepada pelaksanaan dengan menyediakan kemudahan pembiayaan, penyedia penyelesaian yang boleh dipercayai dan sokongan nasihat kepada PKS.
"Kami memudahkan pembiayaan, menyediakan penyedia penyelesaian sebenar, dan khidmat nasihat yang diperlukan PKS untuk menggunakan teknologi supaya mereka boleh berkembang dengan yakin dan berdaya saing," katanya.
Mohammad Hazani berkata model penyampaian R2G melengkapkan strategi kepelbagaian ekonomi Sarawak dan platform institusi seperti IDECS, sambil memajukan agenda inovasi persekutuan untuk mengkomersialkan teknologi tempatan dan meluaskan impak serantau.
Ditubuhkan pada 1992, MTDC, anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd, menumpukan pada pelaburan teknologi, pembangunan kapasiti dan khidmat nasihat untuk PKS melalui pelbagai inisiatif, termasuk Dana Permulaan Perniagaan, Dana Pertumbuhan Perniagaan dan Dana Pembangunan Teknologi Halal.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial