KUCHING, 23 Okt (Bernama) -- Malaysia Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) menyasarkan potensi pelaburan melebihi RM300 juta menerusi penganjuran acara NBiOSHOWCASE sempena Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak 2025 (IDECS25) pada 22-23 Oktober 2025, di sini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak berkata penganjuran NBiOSHOWCASE atau National Bioeconomy Showcase itu turut mencerminkan komitmen Bioeconomy Corporation bagi mengetengahkan integrasi teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) dapat memperkukuh sektor bioekonomi digital negara.
“Kami amat berbangga dapat bekerjasama dengan Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) bagi memperlihatkan bagaimana teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) mampu memperkukuh sektor bioekonomi.
“Sarawak berpotensi besar, terutama dengan kekayaan biodiversiti yang menjadi kekuatan utama negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas acara khas NBiOSHOWCASE di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini, hari ini.
Menjelaskan selanjutnya, Mohd Khairul berkata Bioeconomy Corporation turut menyediakan pelbagai bentuk bimbingan dan sokongan menyeluruh kepada usahawan, termasuk dalam aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D), akses pasaran, pembiayaan serta pembangunan produk.
“Semalam misalnya, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut melawat reruai kami dan berpeluang berbincang mengenai potensi kerjasama dalam pelbagai sektor, khususnya pertanian dan kesihatan.
“Kami juga menyambut baik cadangan mewujudkan program khas untuk usahawan tempatan Sarawak pada tahun depan. Melalui pertemuan dan sesi libat urus tahun ini, kami dapat melihat minat tinggi daripada usahawan di negeri ini untuk meneroka bidang bioekonomi,” katanya.
Beliau menyifatkan NBiOSHOWCASE bersempena IDECS 2025 sebagai titik permulaan penting dalam membina ekosistem bioekonomi Sarawak yang mampan melalui sinergi antara kerajaan, industri dan institusi penyelidikan.
“Setakat ini, lebih 70 syarikat tempatan Sarawak terlibat dalam pelbagai program di bawah Bioeconomy Corporation dan kami berharap lebih ramai lagi usahawan negeri itu akan turut serta bagi memperluas ekosistem bioekonomi di Borneo,” katanya.
Terdahulu, ketika berucap pada majlis itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis berkata menerusi bimbingan dan fasilitasi Bioeconomy Corporation, sebanyak 22 syarikat berstatus BioNexus dan Bio-based Accelerator (BBA) di Sarawak telah menjana pelaburan diluluskan berjumlah kira-kira RM574 juta dalam industri berasaskan bio.
“Saya yakin angka ini akan terus meningkat, khususnya hasil aktiviti dan kerjasama produktif yang terjalin sepanjang dua hari penganjuran NBiOSHOWCASE ini.
“Antara yang penting adalah pemeteraian kerjasama Bioeconomy Corporation dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) hari ini yang menumpukan dua bidang strategik iaitu promosi dan pengkomersialan perubatan regeneratif serta bahan lestari selain pembangunan bakat bagi melengkapkan pelajar, penyelidik dan usahawan muda dengan pengetahuan serta kemahiran dalam bidang bioteknologi dan sektor berkaitan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial