KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Sunway Malls memperkukuh agenda kelestariannya dengan memperkenalkan pencerna makanan pertama di Malaysia serta pencapaian pensijilan antarabangsa SIRIM, sekali gus menegaskan komitmennya terhadap nilai pengurusan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Pengumuman itu bertepatan dengan Hari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pelancaran kempen kumpulan pusat beli-belah tersebut bertajuk ‘From This to That’, yang mempromosi amalan gaya hidup mesra alam melalui aktiviti kitar semula, guna semula dan inovasi semula bahan harian.
Menurut kenyataan Sunway Malls, pencerna makanan yang baharu itu dibangunkan berdasarkan kejayaan alat pengomposan makanan pertama yang dilancarkan pada tahun 2019, yang menandakan permulaan usaha kumpulan itu dalam pengalihan sisa makanan daripada tapak pelupusan.
“Tidak seperti alat pengomposan makanan yang menukar sisa makanan kepada tanah, pencerna makanan ini menukar sisa tersebut menjadi greywater, yang kemudiannya boleh ditingkatkan nilainya menjadi baja cecair melalui kerjasama dengan rakan kongsi kelestarian,” kata Sunway Malls dalam kenyataannya hari ini dan menyatakan pencerna makanan pertama kini beroperasi di Sunway Velocity dan akan dipasang di Sunway Pyramid menjelang akhir tahun 2025, dengan lebih banyak pusat beli-belah akan menyusul.
Dalam satu pencapaian penting, Sunway Pyramid telah menjadi pusat beli-belah pertama di Malaysia dan organisasi ke-16 di seluruh negara yang menerima pensijilan SIRIM 55 ESG, termasuk memperoleh pensijilan ISO 14001 (Pengurusan Alam Sekitar), ISO 45001 (Pengurusan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan) dan ISO 9001 (Pengurusan Kualiti), yang mencerminkan komitmen kumpulan itu terhadap piawaian antarabangsa dalam keseluruhan operasinya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Malls HC Chan (HE) berkata kelestarian, kekal sebagai teras utama dalam falsafah perniagaan kumpulan itu.
“ESG merupakan komponen penting dan tidak terpisahkan dalam perniagaan masa kini. Komitmen kami terhadap ESG ialah satu ikatan kepercayaan dengan para pekerja, pelanggan dan komuniti. Inilah cara kami memastikan pertumbuhan yang inklusif, beretika dan lestari untuk setiap pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan yang sama.
Selain memperkenalkan pencerna makanan pertama di Malaysia, Sunway Malls juga merupakan yang pertama di negara ini melancarkan Smart Toilet Systems bagi meningkatkan kecekapan penggunaan air, serta Smart Parking untuk mengurangkan pelepasan karbon dan menghapuskan penggunaan tiket parkir bercetak, yang berjaya mengurangkan 0.5 tan sisa kertas daripada tapak pelupusan setiap tahun.
Pasa masa sama, mereka turut menaik taraf infrastruktur bagi motosikal kenderaan elektrik (EV), eskalator berasaskan pengesan pergerakan, sistem tadahan air hujan dan pemasangan panel solar di bumbung bagi memelihara sumber semula jadi serta membina keupayaan kendiri melalui inovasi.
Menerusi kerjasama dengan Kloth Cares dan vendor kitar semula Sunway Malls turut menggalakkan amalan kitar semula tekstil dan pengurangan sisa dalam kalangan penyewa dan pengunjung. Inisiatif berasaskan komuniti seperti sudut sumbangan buku, pertukaran beg guna semula dan mural seni daripada bahan kitar semula, turut membantu menyemai budaya kelestarian dalam kehidupan seharian.
Selain itu, kempen From This to That yang sedang berlangsung dari 22 Okt hingga 9 Nov di Sunway Velocity Mall, Sunway Pyramid, Sunway Big Box dan Sunway Kluang Mall menampilkan bengkel mesra alam, bazar hijau serta kerjasama dengan rakan ekologi seperti Kloth Cares dan Fipper.
Kumpulan itu turut bekerjasama dengan jenama lestari seperti Uniqlo, The Body Shop dan Timberland bagi memperkukuh impak kelestarian melalui program kitar semula, inisiatif guna semula bahan dan pilihan peruncitan yang lebih mesra alam.
Di bawah kempen itu, pengunjung berpeluang menebus hadiah mesra alam seperti Handy Holder daripada bahan kitar semula serta menyertai cabutan bertuah Treasures & Treats Lucky Draw dengan hadiah bernilai sehingga RM30,000, termasuk beg mewah pre-loved bernilai RM16,000.
“Kombinasi inovasi, kerjasama dan penglibatan komuniti menjadikan Sunway Malls sebagai peneraju dalam mengubah pengalaman membeli-belah kepada satu gerakan untuk gaya hidup lestari,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial