KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Pelabur asing meneruskan penjualan bersih bagi minggu kedua berturut-turut di pasaran Asia minggu lepas, dengan aliran keluar bersih asing sebanyak US$1.74 bilion.
Laporan Aliran Dana MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) bagi minggu berakhir 24 Okt 2025 menunjukkan dalam kalangan pasaran yang dinilai, hanya Indonesia, Thailand dan India mencatatkan aliran masuk asing bersih manakala selebihnya menyaksikan aktiviti penjualan bersih, diterajui oleh Taiwan dengan aliran keluar terbesar di rantau ini.
“Indonesia meneruskan pembelian bersih selama tiga minggu berturut-turut dengan pembelian asing terbesar di rantau ini sebanyak US$254.7 juta selepas Bank Indonesia melaksanakan langkah tidak dijangka dengan mengekalkan kadar dasarnya tanpa perubahan walaupun sebelum ini berikrar untuk mengambil pendekatan ‘menyokong pertumbuhan secara menyeluruh,’” katanya.
Menurutnya bank pusat Indonesia itu pada masa ini akan menilai kesan daripada pelonggaran dasar terdahulu dan rangsangan fiskal yang sedang dilaksanakan terhadap ekonomi Indonesia selaku ekonomi terbesar di Asia Tenggara.
“India meneruskan pembelian bersih asing untuk tiga minggu berturut-turut, dengan aliran masuk bersih asing yang sederhana sebanyak US$96.8 juta, kira-kira 10 kali lebih rendah berbanding minggu sebelumnya berikutan pasaran ditutup selama tiga daripada lima hari dagangan sempena sambutan Deepavali,” menurut laporan itu.
MBSB IB berkata, di pasaran tempatan, pelabur asing meneruskan penjualan bersih untuk minggu ketiga berturut-turut dengan aliran keluar bersih yang sederhana sebanyak -RM14.6 juta, lebih rendah daripada aliran keluar bersih pada minggu sebelumnya iaitu -RM962.8 juta.
Pelabur asing menjadi penjual bersih pada dua daripada empat hari dagangan minggu lepas dengan aktiviti jualan bersih tertinggi yang dicatat pada Rabu berjumlah -RM73.3 juta diikuti Selasa berjumlah -RM68.9 juta.
MBSB IB berkata Khamis dan Jumaat pula menyaksikan aktiviti belian bersih asing, masing-masing sebanyak RM97.5 juta dan RM30.1 juta.
"Tiga sektor utama yang mencatatkan aliran masuk bersih asing adalah produk dan perkhidmatan pengguna (RM195.7 juta), produk dan perkhidmatan perindustrian (RM83 juta), dan teknologi (RM66.9 juta).
"Tiga sektor utama yang menyaksikan aliran keluar bersih asing adalah penjagaan kesihatan (-RM200.7 juta), perkhidmatan kewangan (-RM142.7 juta), dan telekomunikasi dan media (-RM52.4 juta)," katanya.
Menurut MBSB IB, institusi tempatan meneruskan pembelian bersih selama tiga minggu berturut-turut, dengan aliran masuk sebanyak RM111.1 juta.
Peruncit tempatan meneruskan jualan bersih bagi minggu ketujuh berturut-turut dengan aliran keluar bersih sebanyak -RM96.5 juta, 3.7 kali lebih rendah berbanding aliran keluar minggu sebelumnya berjumlah -RM357.4 juta.
“Purata jumlah dagangan harian menunjukkan penurunan menyeluruh pada minggu lepas. Peruncit tempatan dan institusi tempatan mencatat penurunan iaitu masing-masing -26.3 peratus dan -18.8 peratus manakala pelabur asing mencatatkan penurunan sebanyak -25.1 peratus," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial