KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Pengenalan status ASEAN Business Entity (ABE) berpotensi mewujudkan lebih banyak syarikat multinasional (MNC) ASEAN yang dapat meningkatkan peluang pasaran di rantau ini, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.
Beliau berkata idea berhubung pelaksanaan ABE telah dipromosikan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan juga telah dimasukkan sebagai salah satu inisiatif di bawah Beanjawan 2026.
"Dengan ABE, harapan kita adalah satu hari nanti akan ada lebih banyak ASEAN MNC supaya kita tidak lagi hanya bergantung kepada MNC dari barat atau negara lain.
"Asean MNC ini boleh melakukan aktiviti ekonomi dan industri di antara negara ASEAN dan mewujudkan pasaran yang lebih kukuh," katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) mengenai langkah kerajaan dalam meyakinkan pelabur bahawa Malaysia akan terus komited dengan prinsip pasaran bebas dan ekonomi yang terbuka terutama dalam kalangan ASEAN secara keseluruhan.
Dalam pada itu, menjawab soalan asal Wan Saifulruddin mengenai strategi mengurangkan halangan bukan tarif, Liew berkata ASEAN akan terus komited dalam usaha untuk mengurangkan halangan bukan tarif bagi memperkukuh integrasi ekonomi serantau.
Ia juga bagi memastikan manfaat perdagangan dapat dinikmati secara inklusif, termasuk oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Beliau menegaskan beberapa langkah telah dan sedang diambil oleh ASEAN bagi mencapai matlamat tersebut termasuk pewujudan Badan Sektoral Coordinating Committee on the Implementation of the ASEAN Trade in Goods Agreement (CCA) dan ASEAN Trade Facilitation Joint Consultative Committee (ATF-JCC).
Selain itu, platform digital serantau ASEAN Single WIndow turut ditubuhkan yang menghubungkan sistem National Single Window (NSW) setiap negara anggota ASEAN bagi membolehkan pertukaran dokumen kastam dan perdagangan secara elektronik antara negara.
"Seterusnya ialah penyediaan Garis Panduan - Guidelines for the Implementation of ASEAN Commitments on Non-Tariff Measures on Goods; Mutual Recognition Arrangement (MRA) serta naik taraf Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA)," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial